Sultan Johor tiada peranan tentukan MB: Mahathir
Dr Mahathir Mohamad bertegas parti pemerintah yang berhak melantik menteri besar Johor baharu dan bukannya sultan, susulan kritikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Pakatan Harapan dalam isu itu semalam.
Kata beliau, ini adalah hal politik, sultan tiada peranan. Peranannya ialah untuk parti yang memenangi pilihan raya menentukan siapa patut mengetuai,” kata perdana menteri selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-15 hari ini.
Semalam, Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai menteri besar Johor yang disusuli kritikan Tunku Ismail berhubung calon pilihan Pakatan Harapan.
Tunku Ismail dilaporkan berkata, pemilihan menteri besar Johor ialah hak mutlak sultan.
Felda mangsa kedurjanaan urus tadbir korporat: Azmin
Pembentangan Kertas Putih Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Dewan Rakyat, mendedahkan aliran tunai FELDA berada pada tahap kritikal.
Dalam masa sama, baki tunai FELDA merosot daripada purata RM2.5 bilion dalam tempoh 2007 hingga 2011 kepada hanya RM400 juta pada 2017.
Berhubung penyenaraian FGV, Mohamed Azmin berkata, langkah itu menjana tunai RM10.5 bilion, yang mana FELDA memperoleh tunai RM6 bilion dan baki selebihnya menjadi milik FGV.
Malangnya, kata Mohamed Azmin, RM1.4 bilion daripada hasil tunai yang diperoleh FELDA melalui penyenaraian FGV dibelanjakan untuk membuat pelaburan yang sangat meragukan membabitkan transaksi meragukan.
Beliau berkata, sejumlah RM2.7 bilion digunakan untuk meraih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum.
Rosmah mengaku tidak bersalah tuduhan baharu rasuah RM 5 juta
Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa lagi di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima suapan RM5 juta sebagai upah membantu Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus, tiga tahun lalu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Ini merupakan kali kedua isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa berkaitan kes yang sama.
Mengikut pertuduhan hari ini, Rosmah didakwa menerima wang tersebut daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 buah sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan kes sebelum ini diguna pakai dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.
Warga Israel dilarang ke Malaysia atas urusan mesyuarat
Tiada lagi kebenaran untuk warga Israel memasuki ke negara ini bagi tujuan menghadiri persidangan, mesyuarat dan menyertai program-program antarabangsa.
Pada tahun ini, hanya tiga warga berkenaan diberi kebenaran iaitu hanya berdasarkan urusan perhubungan perdagangan sedia ada.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sebarang perjalanan membabitkan Israel adalah dilarang dan hanya dibenarkan dengan kebenaran khas berdasarkan tujuan-tujuan tertentu.
Katanya, berikutan dasar negara berkenaan, pasport Malaysia tidak sah untuk perjalanan ke Israel dan kemasukan menggunakan passport Israel juga adalah dilarang.
Hamidin letak jawatan Naib Presiden AFF
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang dimenangi tanpa bertanding pada Kongres AFF di Kemboja, bulan lalu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, keputusan itu diambil Hamidin untuk memberi tumpuan atas tanggungjawabnya selepas dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023, Sabtu lalu.
Dalam Kongres AFF di Siem Reap pada 17 Mac lalu, Hamidin bersama Datuk Seri Zaw Zaw dari Myanmar dan Datuk Seri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste memenangi kerusi sebagai tiga Naib Presiden AFF tanpa bertanding.
Presiden AFF yang baru dipilih adalah Mejar Jeneral Samet yang menggantikan Sultan Ahmad Shah selepas baginda menolak pencalonan kerana gering.
Pada Kongres AFC yang berlangsung di Kuala Lumpur, Sabtu lalu, Hamidin terpilih sebagai Exco AFC dan menjadi tiga anggota antara zon ASEAN yang dipilih bagi jawatan terbabit.