Hantu, LGBT, pemabuk dapat manfaat tol percuma: Najib
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas kerajaan Pakatan Harapan berhubung rancangannya menggantikan kutipan tol di 4 lebuh raya dengan caj kesesakan, mengatakan tiada sesiapapun mendapat manfaat ketika luar waktu puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi.
Kata beliau, jika kerajaan prihatin, perlu berikan tol percuma waktu orang sedar bukannya ketika orang tidur.
Kata Najib, orang yang berjaga dari jam 11 malam hingga 5 pagi hanya hantu, peminum arak, LGBT dan mereka yang mencari pelanggan, katanya kepada ketika memberi ceramah di Semenyih malam semalam.
Katanya, tiada siapa yang akan pulang dari pejabat pada pukul 11 malam.
Nazri disiasat kerana menghasut
Polis sedang menyiasat Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz atas dakwaan menghasut susulan ucapannya ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Semenyih.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamed Fuzi Harun berkata, Nazri akan disiasat di bawah akta hasutan.
Kata beliau, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwaraya di Pejabat Peguam Negara.
Menurut Mohamed Fuzi, Ahli Parlimen Padang Rengas itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan yang menyatakan menjadi satu kesalahan untuk mempunyai kecenderungan menghasut dan menyebut apa-apa perkataan menghasut.
Suami isteri dijel dua tahun dera anak
Pasangan suami isteri dijatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan mendera kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun sejak dua tahun lalu.
Hakim, Kamarudin Kamsun turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Farid Rosli, 29 dan Yuliani Chosibah, 38 menjalani bon kelakuan baik selama tiga tahun dan melakukan kerja khidmat masyarakat selama 48 jam.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah menganiaya dengan membiarkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Muhammad Farid dan Yuliani didakwa melakukan kesalahan ke atas kanak-kanak berkenaan sejak 2017 lalu sehingga 18 Februari lalu di Pangsapuri Desa Melayu, Jalan Bayu Putri 2.
Kementah buat laporan polis berhubung surat palsu perolehan kontrak
Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan polis berhubung 2 surat palsu berkaitan perolehan kontrak di kementerian itu.
Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 Menteri Pertahanan, Rafizal Ali berkata, laporan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang kesan tidak baik akibat penyalahgunaan nama menteri, pejabat menteri dan kementerian.
Menurutnya, surat palsu pertama bertarikh 9 Disember tahun lalu adalah daripada syarikat yang berpangkalan di Kelantan bagi memohon sokongan khas daripada menteri pertahanan berhubung pembekalan perabot untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Manakala surat palsu ke-2 pula bertarikh 17 Januari 2019 daripada Bahagian Perbendahaan dan Audit, Unit Pentadbiran Awam Jabatan Tentera Laut yang menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas angkatan tentera kepada sebuah syarikat berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.
Waktu Bekerja Fleksi untuk penjawat awam mulai 1 Mac
Bermula 1 Mac ini, projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) akan dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata WBF akan dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya manakala jabatan Persekutuan bagi negeri Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.
Waktu pejabat akan bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang kecuali hari Khamis di Johor dan Terengganu, yang bermula jam 7.30 pagi hingga 4 petang.
Berdasarkan pekeliling itu, pegawai yang memulakan tugas sebelum jam 7.30 pagi akan dianggap memulakan tugas pada jam 7.30 pagi. Sebarang tuntutan bayaran lebih masa adalah tidak dibenarkan melainkan pegawai diarah sedemikian.