Jangan buat spekulasi ahli Unit Amal ditahan polis kes bakar kereta mufti: Hadi
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum menerima maklumat lanjut berhubung seorang anggota Unit Amal parti itu yang ditahan polis atas dakwaan membakar kenderaan milik Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Hadi berkata beliau bagaimanapun akan menyerahkan isu berkenaan kepada pihak polis untuk disiasat dan dalam masa yang sama meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh mengganggu siasatan.
Mohd Asri semalam memohon maaf susulan paparan dua gambar anggota jabatan amal PAS – bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang – yang mengiringi hantaran mengenai kes bakar keretanya pada 22 Mac lalu.
Hantaran itu kemudian dipadamkan.
Mahkamah tolak rayuan Zahid dapatkan pasport untuk pergi umrah
Presiden Umno yang sedang bercuti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi gagal mendapatkan pasport untuk sementara bagi mengerjakan umrah pada bulan puasa ini.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuannya untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menyatakan bahawa walaupun mengerjakan umrah disarankan semasa bulan puasa namun ia bukan wajib.
Pasport Zahid ditahan setelah beliau berdepan 47 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah (CBT) dan rasuah di mahkamah.
Jabatan agama Sarawak akan umum jika gula-gula ‘White Rabbit’ ada gelatin babi
Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) akan menjalankan ujian makmal ke atas gula-gula “White Rabbit” yang popular di China, selepas pihak berkuasa negara jiran Brunei mendakwa ia mengandungi gelatin babi (protein babi).
Pembantu menteri Abdul Rahman Junaidi, yang juga menteri yang menjaga hal ehwal Islam di Sarawak, turut mengambil perhatian bahawa gula-gula tidak mempunyai logo halal.
Beliau berkata pengumuman akan dibuat jika ujian mendapati dakwaan gula-gula itu mengandungi ramuan tidak halal adalah benar.
Beliau berkata gula-gula itu akan kekal di rak pada masa sekarang.
Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei mendakwa produk itu mengandungi gelatin babi, susulan ujian oleh bahagian kawalan makanan halal dan kementerian kesihatan negara itu.
Musa Aman mengaku tak salah 51 tuduhan rasuah, Amla
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas 51 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Musa, 68, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di Mahkamah Tinggi.
Collin kemudiannya menetapkan perbicaraan kes selama dua bulan bermula Jun 2020.
Pada November 2018, Musa berdepan 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih AS$37.8 juta dolar amerika syarikat dan SGD2.5 juta dolar singapura manakala 35 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak konsesi balak berjumlah AS$63.3 juta dolar amerika syarikat (RM263 juta).
Rusuhan Jakarta: Indonesia bataskan penggunaan aplikasi WhatsApp
Pemerintah Indonesia bertindak membataskan akses aplikasi WhatsApp, bagi mengawal penyebaran info hasutan dan maklumat palsu berkaitan kejadian rusuhan dan demonstrasi, pasca keputusan Pilihan Raya Presiden 2019.
Menurut laporan media tempatan, pembatasan yang akan dilakukan sehingga 25 Mei ini adalah mengikut Undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE), bagi mencegah beredarnya maklumat atau info berkaitan kebencian dan palsu.
Selain aplikasi whatsapp, pengguna Facebook dan Instagram juga menghadapi masalah yang sama sejak semalam.
Lebih 130 juta rakyat Indonesia menggunakan aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram.