Kesalahan hina agama masuk Kanun Keseksaan, hukuman lebih berat: Mujahid
Kesalahan menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama akan dimasukkan dalam Kanun Keseksaan (Akta 574).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pindaan terhadap Akta 574 itu secara dasarnya mendapat persetujuan dan akan dibentangkan ke Kabinet, sebelum usul pindaannya dibawa pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.
Katanya, pindaan akta berkenaan bakal menyaksikan hukuman lebih berat menanti pesalah, selain mengetatkan beberapa proses pendakwaan termasuk operasi prosedur standard (SOP) pembuktian di mahkamah.
Semalam, seorang operator kilang, A Taneson, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, atas kesalahan menghina Nabi Muhammad melalui akaun Facebook miliknya.
Pas tak bayar RM1 juta kepada Clare Rewcastle-Brown
Pas menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata berdasarkan Perintah Persetujuan yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.
Takiyuddin berkata beliau terpanggil untuk menjelaskan kenyataan mengelirukan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyelesaian luar mahkamah bagi kes berkenaan.
Sebelum ini Anwar mencabar Pas menjelaskan sama ada parti itu membayar lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown, sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.
Sultan Johor tolak cadangan tubuh Universiti Muhammadiyah
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menolak cadangan menubuhkan Universiti Muhammadiyah di negeri itu.
Kata baginda, setelah membuat penelitian sedalam-dalamnya, cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah ini bertentangan dengan semua bidang kuasa dan peruntukan perundangan berkaitan agama Islam di negeri Johor Darul Ta’zim.
“Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri itu, baginda menolak cadangan penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah di negeri Johor.
Sultan Ibrahim bertitah,Johor mempunyai institusi agama Islam dan pendidikan Islam yang utuh lagi sistematik melangkaui satu abad yang mana ianya berprinsipkan dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.
Ucapan saya diguna untuk beri gambaran salah: Nazri
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Aziz membidas laporan sekitar ucapannya dalam kempen pilihan raya kecil DUN Semenyih, mengatakan ia digunakan untuk memberi gambaran yang salah.
Nazri yang disiasat bawah Akta Hasutan berkata beliau dipanggil polis semalam untuk diambil keterangan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Nazri disiasat bawah Akta Hasutan kerana ucapan semasa berkempen di Semenyih.
Nazri dilapor mempersoalkan pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan peguam negara, ketua hakim negara dan menteri kewangan dalam satu ucapan pada Sabtu, mengatakan ini bermakna mereka tidak boleh mengangkat sumpah dengan Al-Quran.
SPR: Kekosongan DUN Rantau akan diisi dalam 60 hari
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengisi kekosongan kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini.
Pengerusi Azhar Azizan Harun berkata suruhanjaya sudah menerima perakuan mahkamah daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan bawah Seksyen 36A(3)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi DUN Rantau adalah terbatal.
Katanya, selaras dengan Perkara LVI(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang dipastikan berlaku bermula semalam.
Kata beliau, pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN itu juga akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.