Kerajaan PH lebih adil daripada BN: MB Terengganu
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad lebih adil kepada kerajaan Terengganu pimpinan Pas berbanding BN termasuk dalam soal bayaran royalti petroleum untuk negeri.
Memetik laporan The Malaysian Insight, Ahmad Samsuri berkata kerajaan pusat sudah membayar kepada kerajaan Terengganu royalti peringkat pertama bagi tahun 2018 dan 2019 secara terus sebanyak tiga kali berjumlah RM450 juta.
Beliau juga menjelaskan baki keseluruhan bayaran berjumlah antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion pula dijangka akan dibuat pada September.
Ahmad Samsuri berkata dana daripada royalti petroleum itu juga akan membiaya pembinaan loji penapis air, projek Bandar Baru Kuala Nerus dan Bandar Baru Kijal.
Pegawai khas bekas menteri direman tiga hari
Pegawai khas kepada bekas seorang menteri direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memboleh siasatan lanjut dilakukan.
Semalam dilaporkan, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari sewaktu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan individu itu.
Lahir di Malaysia bukan automatik dapat warganegara
Kelahiran di Malaysia tidak membolehkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, penyelesaian isu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di negeri Sabah perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Katanya ia selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964, taraf kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung dan status perkahwinan yang sah mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa sewaktu kelahiran berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata mengenai permohonan kewarganegaraan suami warganegara asing kepada isteri warganegara Malaysia, setiap permohonan yang diterima oleh kementeriannya akan diproses dengan teliti.
Rumah tidak terjual meningkat 30.6 peratus
Kediaman tidak terjual meningkat 30.6 peratus kepada 32,313 buah pada 2018 berbanding 24,738 buah tahun sebelumnya, menjadikan peningkatan 27 peratus dari segi nilai kepada RM19.86 bilion.
Laporan Pasaran Hartanah 2018 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) hari ini mendapati, rumah kediaman bertingkat membentuk unit tidak terjual paling banyak iaitu 43.4 peratus.
Sektor komersial turut merekodkan peningkatan tidak terjual, yang ditakrifkan sebagi unit tidak terjual dalam tempoh sembilan bulan selepas dilancarkan.
Krisdayanti hampir pasti bergelar Ahli Parlimen
Kerja keras penyanyi ternama Indonesia, Krisdayanti untuk bergelar wakil rakyat akhirnya membuahkan hasil.
Berdasarkan kiraan pantas atau quick count, penyanyi lagu Menghitung Hari itu sudah hampir pasti bakal bergelar wakil rakyat bagi kerusi Malang Raya di Jawa Timur.
Penghibur yang mesra disapa KD itu antara selebriti yang turut serta dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia pada 17 April lalu.
Isteri kepada usahawan ternama kelahiran Timor Leste, Raul Lemos itu bertanding atas tiket parti politik Parti Demokrasi Indonesia – Perjuangan (PDI-P).
Semasa kempen Pemilu, Krisdayanti, 44, komited berkempen selama berbulan-bulan selain sering berulang-alik antara Jakarta dan Malang.