‘Bulan’ berkibar megah bersama ‘Sang Saka Bangsa’ di PWTC
Sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya bendera Pas berkibar sama aras dengan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ia menjelang acara bersejarah yang bakal menyaksikan UMNO-Pas memeterai piagam bersama sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang akan berlangsung hari ini dan esok.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Dewan Merdeka, PWTC dengan acara kemuncaknya majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan Pas.
Menurutnya, lebih 30 parti politik berdaftar telah dijemput termasuk bawah Pakatan Harapan.
Sementara itu, pengisian HPU hari ini akan bermula dengan solat sunat Dhuha, zikir munajat oleh Wanita UMNO dan Muslimat Pas.
Jangan jadikan perjuangan Bersatu demi wang, kuasa: Dr Mahathir
Ahli Parti Bersatu diingatkan agar tidak menjadikan perjuangan parti itu beridolakan kepada wang dan kuasa sekiranya mahu terus kekal menjadi kerajaan pada masa depan.
Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli perlu sedar bahawa parti itu menang bukan kerana kekuatan parti sebaliknya kerana kelemahan seteru parti itu.
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14), seteru politik Bersatu berjanji menaikkan gaji, pemberian wang kepada rakyat kerana mereka percaya rakyat akan sokong namun ramalan itu meleset.
Sebaliknya kata Mahathir, partinya tidak akan menggunakan kaedah itu, tetapi bergantung kepada semangat kebangsaan dan bangsa untuk raih sokongan rakyat, katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Bersatu malam semalam.
Jerebu: 29 buah sekolah di Selangor ditutup hari ini
Sebanyak 29 buah sekolah ditutup sehingga hari ini melibatkan dua daerah iaitu Klang dan Kuala Langat akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataan dikeluarkan semalam memaklumkan penutupan itu melibatkan 45, 265 pelajar keseluruhannya.
Katanya, ini melibatkan pecahan 38,217 bagi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang dan selebihnya 7,048 bagi PPD Kuala Langat.
Justeru, JPNS mengingatkan pihak sekolah menutup sekolah serta-merta sehingga keadaan kembali pulih sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan mereka melebihi 200 mengikut Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia.
Polis terima satu laporan hina Raja Permaisuri Agong di Twitter
Polis menerima satu laporan berhubung kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Twitter semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Awal pagi semalam, netizen menzahirkan rasa terkejut selepas Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyahaktifkan akaun Twitter baginda.
Tidak dapat dipastikan mengapa Raja Permaisuri Agong bertindak menutup akaun Twitternya namun beberapa individu dikenal pasti antaranya Firdaus Asraf menjadi penyebab Tuanku berbuat demikian.
1,000 pelajar UMT berhimpun bantah gabungan dengan Unisza
Kira-kira 1,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhimpun secara aman semalam bagi membantah cadangan penggabungan dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
Himpunan aman yang berlangsung selama lebih sejam di Dewan Sultan Mizan kampus itu digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengumpul suara pelajar secara kolektif berhubung isu berkenaan.
Yang Dipertua MPP, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd. Suddin berkata, mereka sebulat suara menolak sepenuhnya cadangan itu bagi mengekalkan bidang tujahan UMT dalam ilmu kelautan di samping turut mengemukakan beberapa tuntutan.
MPP UMT itu juga turut menjalankan petisyen dalam talian berhubung bantahan penggabungan tersebut dan setakat petang semalam, seramai 9,000 warga universiti itu telah menandatanganinya.