Umno sedia berdepan saman pelucuthakan yang difail SPRM
Umno sedia berdepan saman pelucuthakan yang difail Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB yang didakwa diterima parti itu di mahkamah.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikianm engulas sidang media SPRM berkenaan perkara itu hari ini
Saman yang difail SPRM itu melibatkan wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.
Menurut SPRM, sejumlah besar wang itu – iaitu RM212 juta – diagihkan kepada Umno. Menurut senarai yang disertakan, antara penerimanya ialah Umno bahagian Pekan, Umno bahagian Johor Bahru dan Badan Perhubungan Umno beberapa negeri seperti Kelantan, Selangor dan Pahang.
Tukar tanah Mindef: Hisham akan beri keterangan pada SPRM
SPRM akan menyoalsiasat bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Ahad ini berhubung beberapa siri urusan pertukaran tanah membabitkan kementerian pertahanan (Mindef), kata timbalan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.
Hishamuddin menerajui kementerian itu bermula 2013 sehingga BN kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.
Azam berkata bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mungkin diarah untuk membantu siasatan.
Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
PH gagal pertahan Islam dan urus ekonomi: Hadi
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak mempertahankan Islam dan gagal menguruskan ekonomi negara.
Dalam ucapan dasarnya sempena Muktamar Pas ke-65, ahli Parlimen Marang itu berkata, negara kehilangan arah tuju politik dan ekonomi di bawah pentadbiran PH yang sehingga kini gagal mengemukakan idea serta gagasan bernegara mengikut acuan Islam sebenar.
Kata beliau, negara sedang berdepan kecelaruan kiblat politik dan ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Bagaimanapun katanya, terlalu panjang untuk disenaraikan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya tahu menyalahkan pihak lain ataupun menjenamakan dan menghidupkan kembali program kerajaan terdahulu yang dikritik mereka.
Agong, Permaisuri ziarah mangsa ribut di Kampung Haji Ali
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa-mangsa ribut di Kampung Haji Ali, hari ini.
Hadir sama, Exco Jawatankuasa Pelancongan dan Peladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mewakili kerajaan negeri; Adun Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin dan barisan Exco negeri lain serta wakil Ahli Parlimen Temerloh.
Sempena lawatan tersebut, baginda juga mengurniakan wang tunai kepada 74 keluarga yang terjejas dalam kejadian berkenaan.
Dalam titahnya, baginda melahirkan rasa dukacita dengan musibah yang dihadapi penduduk sekitar daerah itu.
Kehidupan di penjara satu rahmat Allah: Farid Kamil
Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari mengakui kehidupannya di penjara selama 35 hari akibat kesalahan penyalahgunaan dadah adalah satu rahmat Allah yang memberikannya satu jalan kebenaran.
Farid Kamil, 38, yang kelihatan ceria dan tersenyum selepas prosiding tadi berkata, pengalamannya di Penjara Kajang sukar digambarkan dengan perasaan.
Pelakon terkenal itu juga menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat berjumpa dua cahaya matanya untuk bersama-sama meraikan hari raya.
Suami kepada Diana Danielle itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan pada 15 Mei lalu akibat kesalahan penyalahgunaan dadah namun Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan tersebut Rabu lalu.