Tujuh bekas ahli Umno sertai Bersatu
Tujuh bekas Ahli Parlimen Umno diterima masuk sebagai ahli Bersatu, semalam.
Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin , Datuk Rosol Wahid, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Datuk Shabudin Yahaya, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyatie Samsudin.
Kesemua mereka menerima kad keahlian Bersatu yang diserahkan sendiri oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, mereka diterima menyertai Bersatu setelah mengkaji permohonan selain meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan menjadi anggota biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti.
Umno putus hubungan dengan 6 bekas Ahli Parlimen
Umno mengesahkan tiada lagi hubungan antara parti itu dengan enam bekas wakil rakyatnya yang menyertai Bersatu, semalam.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan keenam-enam individu itu hak mereka selepas tidak lagi bersama UMNO.
Menurutnya, keenam-enam individu yang diterima masuk ke dalam Bersatu telah pun mengumumkan yang mereka keluar dari UMNO lebih awal sebelum ini.
”UMNO menganggap mereka tidak ada lagi pertalian dan hubungan dengan parti. Pemilihan mereka untuk menyertai mana-mana pihak pasca UMNO adalah hak mereka sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Menteri boleh turun padang sebelum pilihan raya: PM
Anggota Kabinet boleh turun padang di mana-mana kawasan selagi kempen pilihan raya belum bermula, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kehadiran beberapa menteri dari kalangan pemimpin Bersatu dalam program melibatkan kementerian masing-masing di DUN Semenyih.
Kehadiran empat anggota kabinet di DUN Semenyih sebelum PRK kawasan itu mendapat teguran Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berikutan taktik berkempen menggunakan jentera kerajaan.
Teguran itu dibuat susulan lawatan kerja Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun ke DUN Semenyih sejak Sabtu lepas.
Kontroversi ijazah: Inikah ukuran integriti Malaysia Baharu?
Kontroversi ijazah palsu sudah cukup untuk mengukur kerendahan integriti dan meritokrasi yang kononnya dijuarai oleh kerajaan Malaysia Baharu diterajui Pakatan Harapan.
Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Syahir Sulaiman berkata, isunya bukan untuk merendahkan tahap pendidikan menteri, tetapi ia sudah cukup membuka mata rakyat dan anak muda bagi menilai kejujuran dan integriti kerajaan.
Menurutnya, isu integriti mungkin dianggap kecil oleh Pakatan Harapan berbanding amalan kleptokrasi kerajaan terdahulu, namun ia sudah cukup untuk membuka mata rakyat dan anak muda untuk menilainya.
Pas serah semua penyata akaun bank pada SPRM
Pas mengesahkan telah menyerahkan semua penyata akaun bank seperti diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penyata tersebut bermula dari tahun 2015 sehingga terkini.
Menurutnya, Pas telah kemukakan semua penyata permintaan SPRM. Ini selaras pendirian tegas parti apabila SPRM memulakan siasatan setelah ada pihak buat aduan kononnya Pas menerima sogokan RM90 juta daripada 1MDB.
Takiyuddin berkata, Pas yakin tindakan itu membolehkan SPRM menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.