TLDM: Pelancaran, penamaan kapal oleh isteri kenamaan satu tradisi
Upacara pelancaran dan penamaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh seorang wanita merupakan upacara tradisi yang telah dilaksanakan sejak TLDM bermula sebagai Royal Navy, demikian menurut TLDM semalam.
Dalam kenyataannya, Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM berkata wanita yang terpilih atau ‘Lady Sponsor’ adalah dalam kalangan isteri orang kenamaan seperti isteri perdana menteri, menteri pertahanan dan kerabat diraja atau sultan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bagi menjelaskan isu pelancaran dan penamaan kapal misi pesisir (LMS) pertama TLDM di Wuhan, China semalam oleh Normah Alwi, isteri Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, TLDM berkata upacara itu juga telah disesuaikan dengan syariat Islam dan adat ketimuran Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi kapal-kapal selain nama negeri dan pahlawan, isteri kenamaan negara dipilih, sebagai contoh KD Tunku Abdul Rahman telah dinamakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
MAS nafi caj tambahan bagasi yang tular di media sosial
Malaysia Airlines (MAS) hari ini menjelaskan bahawa senarai kadar tambahan bagi bayaran bagasi oleh syarikat penerbangan itu yang tular dalam media sosial adalah tidak betul.
MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa kadar bagasi tambahan (pra bayar) masih berlandaskan kepada tanda aras industri dan berdaya saing dengan apa yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan lain.
“Terdapat dua jenis kadar bagasi, satu untuk bagasi tambahan (pra bayar) dan satu lagi untuk bagasi berlebihan. Bagi bagasi berlebihan yang dibayar semasa daftar masuk di lapangan terbang, kadarnya tetap sama.
“Kadar untuk bagasi tambahan (prabayar) adalah dinamik bergantung kepada sektor, promosi, permintaan dan sebagainya. Penumpang bagaimanapun dapat mengetahui kadar tersebut semasa membuat tempahan melalui “my booking” atau semasa aliran tempahan,” kata MAS dalam satu kenyataan.
Anak Najib bidas Permata jadi Genius
Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa membidas tindakan Kementerian Pendidikan menukar nama Program Permata Negara (Permata) kepada Genius.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Nooryana Najwa berkata, penukaran nama itu tidak mencerminkan intipati sebenar program tersebut.
“Permata membayangkan tentang kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak adalah sangat berharga dan setiap mereka mempunyai peluang untuk mengembangkan potensi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai Program Permata dijenamakan semula dengan diberi nama baharu, Genius.
Anggota polis benarkan MPV diperiksa orang awam dikenakan tindakan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tata tertib terhadap anggota polis yang terlibat dalam insiden kekecohan kereta peronda polis (MPV) diperiksa orang awam ketika proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, arahan berhubung tindakan itu telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negeri dan prosedur itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Intregriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Katanya, keputusan tegas itu diambil kerana sikap tolak ansur berkaitan undang-undang tidak sepatutnya berlaku sekali pun dalam keadaan terdesak.
Pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota terlibat kerana mereka sedia maklum mengenai bermacam saluran yang telah disediakan untuk mengawal keadaan, malah seramai 1,100 pegawai dan anggota berada dalam keadaan bersiap sedia pada hari tersebut.
Pemilu 2019 bermula hari ini
Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2019 bermula hari ini dengan pertandingan satu lawan satu antara presiden Joko Widodo dan bekas jeneral, Prabowo Subianto.
Lebih daripada 190 juta penduduk dijangka mengundi sebaik pusat pengundian dibuka pada jam 7 pagi (waktu tempatan) di wilayah Papua dan dijangka tamat pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan) di Sumatera.
Sebagai rekod, 245,000 calon akan bertanding, bermula dari jawatan presiden dan ahli parlimen kepada jawatan setempat yang kali pertama diadakan secara serentak pada hari sama.
Tinjauan ramai menunjukkan Joko, 57 adalah calon pilihan namun berdepan saingan sengit dari Prabowo, 67 yang bersandarkan tiket nasionalis dan memberi amaran akan mencabar keputusan jika tewas.
Prabowo kalah tipis kepada Joko dalam PEMILU 2014 dan gagal mencabar keputusan berkenaan.