Sudahkah Pas Islamkan UMNO?: Mahathir
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan tidak gentar melihat gabungan Pas dengan UMNO kerana ia memberi banyak isu dan peluang dalam mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan telah menjadi wajib bagi mereka.
Perdana Menteri berkata, gabungan itu agak menarik kerana asas perpecahan dan penubuhan Pas dahulu belum selesai.
Menerusi catatan di blog rasminya, Che Det malam semalam, beliau berkata ulama UMNO keluar parti untuk menubuh Pas kononnya kerana Islam, lagipun semasa kepimpinan UMNO yang lepas, salah satu sebab penggabungan bahkan kerjasama UMNO dan Pas tidak berlaku adalah kerana Pas telah mengkafirkan UMNO.
Mahathir, yang juga Pengerusi PH berkata, antara faktor lain, Pas juga tidak mahu bekerjasama dengan UMNO pada masa dahulu kerana UMNO mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.
Sehubungan itu, Mahathir mempersoalkan sudahkah Pas Islamkan UMNO.
PDRM, Peguam Negara sila bertindak, dakwa Guan Eng bawah Akta Hasutan
Pemuda UMNO mendesakpihak poplis dan Peguam Negara segera bertindak dengan mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan kerana kenyataannya mampu mencetus suasana tegang serta mengundang ketidakharmonian rakyat, agama dan kaum di negara ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang mendakwa kerjasama di antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘isyarat perang’ terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini.
Kata beliau, kenyataan dangkal itu amat berbahaya kerana boleh mencetuskan suasana tegang antara kaum dan mampu merangsang perlakuan tidak wajar di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
Bagaimanapun difahamkan selepas mengeluarkan kenyataan yang mendapat kecaman banyak pihak itu, sebuah portal memaklumkan Guan Eng telah memperbetulkan kenyataannya itu dan frasa ‘pengisytiharan perang’ diubah kepada ‘menyasarkan.
Hina nabi: Alvin Chow direman hari ini
Pemilik akaun Twitter, Alvin Chow Mun Fai yang dipercayai memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW akan direman hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek berusia 43 tahun yang menggunakan nama @alvinchow3333 ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum lain.
Terdahulu, suspek ditahan polis kira-kira jam 5 petang semalam, di Plaza Pudu Shopping Center, Kuala Lumpur.
Suspek kes bunuh Nur Aisyah kaki pukul
Ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, menggambarkan teman lelakinya yang ditahan kerana disyaki membunuh anak tunggalnya itu sebagai seorang yang bengis dan panas-baran.
Rosmaliah Samo, 32, mendakwa, suspek berusia 37 tahun itu juga sering memukul Nur Aisyah sekiranya kanak-kanak itu merengek.
Katanya, dia pernah nampak anaknya dipukul termasuk ditampar pada pipi tetapi saya tidak berani menghalang kerana dia ugut mahu memukulnya.
Kata Rosmaliah, badan anaknya juga dipenuhi lebam dipercayai dicubit selain kesan cucuh puntung rokok dan melecur dipercayai dicurah air panas.
Menurutnya, dia pernah mahu membawa keluar anaknya dari rumah suspek di kuarters Hospital Langkawi (HL) tersebut tetapi suspek melarang.
Ranau dilanda gempa bumi lemah pagi ini
Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.1 pada skala Richter berlaku di Ranau pada jam 4.05 pagi hari ini.
Jabatan Meteorologi menerusi kenyataan berkata, pusat gempa bumi terletak di 6.1 Utara dan 116.7 timur pada kedalaman 10 kilometer (km) berpusat di Ranau.
Gegaran mungkin dirasai di Ranau sahaja dan Jabatan Meteorologi akan terus memantau keadaan itu.