Sokong Mahathir: Tak tahu Pas cakap benar ke bohong- Anwar
PKR tidak pasti sama ada kenyataan dibuat Pas berhubung sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad benar atau bohong.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggapan itu susulan tindakan parti Islam itu dihalalkan berbohong sebelum ini.
Kata Anwar, kalau Pas boleh halalkan bohong, jadi kita tidak tahu pendirian itu bohong ke betul, jadi kena tanya pihak Pas dahulu.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, berdasarkan pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu.
Saya dah lama sedia hadapi PRK Rantau: Tok Mat
Timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan supaya pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau diadakan semula.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita dengan wajah agak sugul selepas Mahkamah mengenepikan rayuannya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya.
Mahkamah Pilihan Raya itu sebelum ini memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada pilihan raya umum ke-14 lalu, batal dan tidak sah.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan ADUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan SPR.
Pusingan-U Pas luar biasa: Pemuda Amanah
Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang parti itu akan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad jika ada parti komponen Pakatan Harapan melakukan pengkhianatan dalam pentadbiran kerajaan dilihat sebagai pusingan-U luar biasa.
Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd. Ithnin berkata, hal itu kerana sokongan tersebut memberi isyarat segala tohmahan dilemparkan Pas kepada pentadbiran Dr. Mahathir sebelum ini tidak betul dan helah politik semata-mata.
Kata Shazni, jika benar sokongan Pas kepada Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH bukan bersifat ‘bohong syarie’, ia bermakna parti itu bersetuju dengan segala dasar kerajaan PH ketika ini.
Semalam, ketika menjawab kontroversi pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi, Takyuddin menjelaskan persetujuan bertulis parti itu hanya draf ikrar menyokong Dr. Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
‘Ada kesan lebam, tapak kasut di rusuk Adib’
Kesan lebam, kemerah-merahan dan tapak kasut jelas kelihatan di rusuk kanan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada pagi 27 November, tahun lalu,
Kru teknikal, R Narresh, 30, memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, berlaku pendarahan di hidung, telinga dan tubuh serta kesan calar di muka selain mendapati keadaan anggota bomba itu semakin lemah.
Narresh melihat kesan itu ketika berada di belakang kenderaan jenis Mistubishi Storm milik orang awam, Mohd Hafizan Nordin, dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
Narresh yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, sepanjang bersama, beliau ada memeriksa nadi Muhammad Adib tetapi denyutannya semakin lemah dan tiada tindak balas diberi sehingga mereka tiba di Subang Jaya Medical Centre.
Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kebakaran hotel di Makkah
Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kebakaran di sebuah hotel di Makkah, Arab Saudi, semalam, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Rakaman video berdurasi 31 saat yang memaparkan satu aras di hotel itu terbakar tersebar di laman sosial hari ini.
Media antarabangsa melaporkan kebakaran yang berlaku di hotel kira-kira 11.40 pagi itu dapat dikawal pasukan bomba sebelum merebak ke seluruh bangunan.
Gulf Daily News melaporkan, kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi waktu tempatan itu melibatkan sebuah hotel yang merupakan sebahagian daripada projek Jebel Omar.