1. Siasat segera bekas menteri pertahanan: PATRIOT
Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), menggesa siasatan segera dilakukan terhadap semua bekas Menteri Pertahanan yang memegang jawatan berkenaan dari tahun 1997 sehingga Mei 2018.
Ia susulan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan dalam tempoh berkenaan.
Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji, berkata, pihaknya juga berpendapat tindakan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mencabar kerajaan supaya membuktikan beliau mendapat habuan secara kewangan dan politik menerusi projek ‘land swap’ adalah sesuatu yang mengejutkan.
Katanya, Hishamuddin perlu bertanggungjawab atas kegagalan projek ‘land swap’ yang berlaku ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan.
“Nasihat beliau, ‘jika tinggal di rumah kaca jangan baling batu’ yang diberikan beliau, kepada Menteri Pertahanan dan Timbalannya (Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong), adalah percubaan yang menggelikan hati untuk mengalih rasa bersalah dan pada masa yang sama menutup kesalahan sendiri.
2. Tabung Haji catat keuntungan bersih RM440 juta pada suku pertama 2019
Lembaga Tabung Haji (TH) memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac tahun ini.
Tabung Haji dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencapaian itu dicapai hasil daripada kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan pada akhir Disember 2018.
“Kedudukan kewangan TH semakin kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion, disokong oleh peningkatan prestasi portfolio pelaburan serta kualiti keseluruhan aset yang sihat setelah rosotnilai dibuat pada 2018.
“Pendapatan TH djangka akan terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan Sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd, yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan perlaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu,”.
3. Pulau Pinang umum bantuan khas Aidilfitri setengah bulan gaji
Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini, mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri sempena perayaan Aidilfitri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, bantuan khas ini diberi kerana kerajaan negeri prihatin dengan tekanan kos sara hidup lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan yang dihadapi oleh kakitangan awam.
“Bantuan yang diberikan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM5.27 juta sebagai pemberian BKK kepada 3,905 penjawat awam di negeri ini,”.
Pada masa yang sama, Kon Yeow turut menyeru kepada semua penjawat awam agar terus memberikan kerjasama dan komitmen untuk menjayakan semua inisiatif-inisiatif yang telah digariskan untuk membentuk Pulau Pinang ke arah Visi 2030 Pulau Pinang.
4. Mazlan dilantik Timbalan Ketua Polis Negara
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 9 Mei lalu.
Beliau yang berkhidmat bersama PDRM sejak 1979 menjalani latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dengan pangkat inspektor.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu dilahirkan pada 14 Ogos 1960 di Bukit Mertajam.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Polis Melaka pada 2008 sehingga 2009, sebelum memegang tugas Timbalan Pengarah D1 (Perancangan /Strategi) Bukit Aman.
Mazlan kemudian memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Bukit Aman sebelum dilantik Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 16 Mei 2016.
Selain itu, beliau pernah menjadi Ketua Polis Selangor selain pernah menjawat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.
5. Detective Conan ‘singkirkan’ Avengers di Jepun
Kumpulan superhero Avengers tidak dapat menewaskan kelicikan dan kepintaran Detektif Conan.
Tatkala Avengers:Endgame mengungguli carta box office di seluruh dunia, namun ia hanya mampu bertahan selama seminggu di Jepun apabila terpaksa akur dengan kehebatan Detective Conan: The Fist of Blue Sapphire.
Avengers: Endgame menerajui takhta box office di negara matahari terbit itu pada minggu pertama tayangannya dengan mengutip 962 juta yen (RM36.4 juta).
Namun prestasi itu menunjukkan kejatuhan sebanyak 45 peratus pada minggu kedua, memberikan kedudukan nombor satu kepada Detective Conan.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama situasi ini terjadi di Jepun.
Tahun lalu, filem Detective Conan: Zero the Enforcer berjaya membuat kutipan tiket yang jauh lebih banyak daripada tayangan pembukaan Avengers Infinity War.