Selamat datang SPRM, kata Nik Abduh
Pas tidak tertekan dengan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta.
Malah, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut mengucapkan selamat datang kepada suruhanjaya itu.
Semalam, SPRM menyatakan pihaknya akan memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang diterima Pas.
Tahun lalu, nama Nik Mohamad Abduh dikaitkan dengan rakaman audio didakwa suara Ahli Parlimen Bachok itu. Dalam rakaman tersebut, Nik Mohamad Abduh dikatakan mengakui bahawa Pas menerima wang daripada Umno.
Bagaimanapun, beliau telah menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah.
‘Tolonglah Malu Bossku’, kata Khairuddin pada Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar sedar diri dan insaf dengan perbuatannya satu masa dahulu yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa sehingga ditolak rakyat pada PRU14.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, peringatan itu perlu dibuat kerana Najib kini dilihat seolah-olah ‘suci’, malah berbangga diri kononya telah kembali diterima rakyat.
Katanya, perbuatan Najib dalam kesalahan mentadbir negara dan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana kesan kerosakan ekonomi negara dapat dirasai sehingga kini.
Menurutnya, kempen ‘Malu Apa Bossku’ yang dicanangnya harus segera ditukar kepada ‘Tolonglah Malu Bossku’,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebooknya.
Najib dakwa Khalid berbohong tentang AES
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berbohong mengenai pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kononnya dikendalikan oleh syarikat swasta.
Menurutnya, AES sebenarnya dikendalikan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang memberikan manfaat besar kepada pencarum-pencarum terdiri daripada anggota tentera.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Khalid berhubung tindakan beberapa pemimpin termasuk Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini lantang menentang AES tetapi kini mempunyai pandangan berbeza.
Menurut sebuah portal berita, Khalid menjelaskan bahawa mereka menentang AES sebelum ini kerana saman yang dikeluarkan menerusi sistem itu tidak disalurkan kepada kerajaan sebaliknya kepada syarikat swasta.
Putrajaya lanjut tempoh kutipan Tabung Harapan
Putrajaya melanjutkan tempoh pemberian sumbangan Tabung Harapan Malaysia (THM) selama 2 minggu lagi selepas ia berakhir pada 14 Januari lalu.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata sumbangan yang dibuat selepas tempoh tersebut tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang.
Pihak kementerian dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara.
Awal Jun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan. Setakat 14 Januari 2019, jumlah kutipan tabung berjumlah RM202 juta.
Kerajaan tidak akan promosi produk swasta: Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan kerajaan tidak membuat promosi untuk produk swasta kecuali mengetengahkan produk keluaran kementerian dan kerajaan sahaja.
Menurutnya, semua kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hanya tumpu kepada mempromosikan produk kerajaan.
Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian kerajaan terhadap menteri yang mempromosikan produk-produk tertentu.
Sebelum ini, Syed Saddiq melahirkan rasa kecewa dengan tuduhan seorang usahawan yang mendakwa telah ‘ditipu’ oleh kementeriannya.