Perbicaraan kes rasuah RM1 juta Ku Nan mula 3 September
Perbicaraan kes rasuah RM1 juta melibatkan bekas menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ditetapkan pada 3 September depan.
Demikian kata Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris selepas menghadiri sebutan kes Tengku Adnan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 15 November tahun lepas, Tengku Adnan meminta mahkamah dibicarakan tuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Eng Boo, melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd, yang dimasukkan dalam akaun Bank CIMB milik Tengku Adnan.
Pemberian suapan itu didakwa untuk mendapatkan kelulusan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk meningkatkan nisbah plot tapak dengan pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Tuduhan itu disabitkan di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang menetapkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali amaun atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana adalah lebih tinggi.
Peguam Muhammad Adib tarik diri
Prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tergendala apabila peguam, Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga anggota bomba tersebut menarik diri.
Permohonan itu dibuat Syazlin di hadapan Koroner, Rofiah Mohamad tanpa menyatakan apa-apa alasan.
Syazlin berkata, pada prosiding yang memasuki hari ke-39 hari ini, beliau sepatutnya memanggil semula Perunding Kanan Forensik Patologi United Kingdom, Professor Dr Shahrom Abd Wahid, sekali gus terbatal.
Sementara itu, salah seorang peguam keluarga, Ahmad Taufiq Baharum memberitahu, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang saksi lain untuk dipanggil memberi keterangan.
Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.
Rasuah: 9 JPJ, anggota SPAD Pulau Pinang didakwa esok
Sembilan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bekas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth esok.
Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua mereka akan didakwa dengan 162 pertuduhan di mahkamah berkenaan pada jam 9 pagi.
April lalu, lebih 70 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dan beberapa individu lain ditahan kerana dipercayai melindungi sindiket ‘lori kebal’.
Kesemua yang ditahan disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.
Kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan.
1 juta kenderaan masuk Kelantan Aidilfitri ini
Sebanyak sejuta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena cuti persekolahan dan sambutan Aidilfitri kali ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.
Beliau berkata, ini berikutan sambutan hari raya disambut dalam musim cuti sekolah yang panjang dan berharap kenderaan memasuki negeri ini secara berperingkat bermula awal cuti sekolah sehingga sambutan Aidilfitri.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya memandu cermat dan berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna juga diminta tidak berlumba kerana kenderaan banyak di jalan raya pada musim perayaan.
Indonesia musnahkan ribuan botol arak
Kira-kira 18,000 botol alkohol yang dirampas dihancurkan dengan jentolak di ibu negara Indonesia hari ini ketika polis memberi amaran supaya berhenti mengambil minuman keras sepanjang Ramadan.
Hampir 90 peratus daripada 260 juta rakyat negara itu beragama Islam yang diwajibkan berpuasa ketika Ramadan.
Polis mengumpulkan ribuan botol yang dikutip ketika serbuan sejak beberapa bulan lalu di Jakarta dan kemudian menggunakan jentolak untuk menghancurkan ia dalam acara yang dibuat setiap tahun.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, menggesa penduduk mengelak daripada mengedarkan arak haram.
Pihak berkuasa Indonesia biasanya menunjukkan rampasan dan memusnahkan alkohol pada kuantiti banyak untuk mengingatkan umat Islam supaya tidak mengambil arak ketika Ramadan.