Peneroka bukan boikot, tapi keluar nak ambil makanan
Tindakan peneroka berjalan keluar dan meninggalkan majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 Pahang semalam ketika Perdana Menteri sedang berucap bukan kerana mereka memboikot program itu.
Ketua Peneroka Kebangsaan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Sulong Jamil Mohd Shariff berkata, dakwaan mengatakan peneroka tidak suka dengan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak benar.
Menurutnya, tindakan peneroka bangun daripada tempat duduk masing-masing kemungkinan untuk mengambil makanan yang disediakan penganjur.
Semalam tular satu video dengan memaparkan sebilangan pengunjung seperti meninggalkan majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 Pahang ketika Dr Mahathir sedang berucap yang kelihatan seperti mereka tidak suka dengan ucapan pemimpin tersebut.
Tangguh kes 1MDB ditolak, perbicaraan Najib bermula 19 Ogos
Perbicaran pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1MDB akan diadakan dari 19 Ogos hingga 14 Nov, susulan penolakan permohonan kerajaan untuk penangguhan memandangkan kes SRC International sedang berlangsung yang mana bekas perdana menteri berdepan 7 pertuduhan jenayah.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berkata beliau menolak permohonan Peguam Negara Tommy Thomas kerana ia adalah permintaan ke-3 untuk menangguhkan kes 1MDB.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa September lepas berkait dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank milik beliau.
Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.
Beliau juga dikatakan memindahkan dana haram sebanyak RM2.28 bilion itu ke akuan bank beliau dan kemudiannya menggunakan wang tersebut.
Khairy tidak berminat pelawaan Syed Saddiq sertai Bersatu
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi gambaran bahawa beliau tidak berminat dengan pelawaan Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai Bersatu.
Katanya, beliau lebih selesa berada di posisi pembangkang ketika ini.
Semalam, Syed Saddiq mempelawa secara terbuka agar Khairy menyertai Bersatu.
Pelawaan oleh Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan itu dibuat menerusi ciapan di Twitter miliknya.
Berkongsi laporan sebuah portal yang memetik respons Khairy berkaitan pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu, Syed Saddiq berkata, Ahli Parlimen Rembau itu patut mengikut jejak langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tokpa.
Bunuh abang, gadis dan kekasih direman enam hari
Sepasang kekasih remaja direman enam hari bemula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward 7, Jumaat lepas.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret, Nurul Hidayah Ismail untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek perempuan berumur 14 tahun, yang juga adik mangsa, dan teman lelakinya berusia 15 tahun tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap pada pukul 8.30 pagi dari ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Taiping di sini.
Semalam, mayat pelajar itu ditemui dibuang di belakang sebuah rumah kosong dekat rumah mangsa di Taman Glenview, Kamunting kira-kira pukul 12.18 tengah hari semalam.
Kedua-duanya ditahan kira-kira 4.25 petang semalam di rumah masing-masing dan mengaku membunuh mangsa.
Nordiana, wanita bertudung pertama juarai gusti
Seorang wanita bertudung yang dikenali sebagai Nordiana yang menjuarai pertandingan gusti di mana videonya tular baru-baru ini menyatakan kejayaannya menjuarai pertandingan Malaysia Pro Wrestling-The Wrestleconi adalah permulaan baginya.
Beliau yang berusia 19 tahun merupakan wanita bertudung Malaysia pertama yang memecah rekod selepas dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan gusti tersebut.
Kemenangan itu dipaparkan dalam satu video yang tular di media sosial, menunjukkan Nordiana bergusti sebelum diumum juara pertandingan setelah menewaskan lawannya.
Kemenangan Nordiana itu disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya dan berkemungkinan kemenangan bertaraf dunia pertama selepas berjaya mengalahkan beberapa ahli gusti lelaki terbesar di negara ini.