Pas akui suara audio Nik Abduh
Pas mengesahkan rakaman audio isu Pas menerima dana daripada Umno itu mengandungi suara anggota parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Nik Abduh sendiri mengakui audio itu suaranya tetapi apa yang dicanang oleh musuh politik Pas tidak menggambarkan perkara sebenar.
Kata beliau, apa yang Nik Abduh sebut bukan sahaja mengenai Pas terima duit Umno, tetapi banyak lagi.
Sehubungan itu katanya, bagi memahami konteks ayat di dalam audio, seseorang itu perlu melihat dan meneliti secara keseluruhan.
Terdahulu isu rakaman audio yang didakwa mengandungi suara Nik Abduh kembali timbul selepas Presiden Pas Abdul Hadi Awang menyelesaikan di luar mahkamah samannya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brow 2 Februari lalu.
Azmin nafi dipecat dari PKR
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan khabar angin kononnya beliau telah dipecat parti itu dan menganggapnya sebagai berita palsu.
Katanya, banyak khabar angin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab dan bagi nenyelesaikan masalah ini, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mempercayai khabar-khabar angin daripada media sosial.
Tular di media sosial termasuk di Facebook dan Twitter sejak malam semalam yang mendakwa Mohamed Azmin telah dipecat daripada PKR.
Marzuki kekal Setiausaha Agung Bersatu
Bersatu akan mengekalkan Setiausaha Agung parti berkenaan yang kini dijawat oleh Datuk Marzuki Yahya.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Marzuki telah memberi penjelasan mengenai keadaan sebenar yang berlaku dan beliau sudah pun berbincang berkenaan perkara tersebut.
Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar, sebelum ini menyerahkan nasibnya di ‘tangan’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepemimpinan Bersatu selepas didakwa memalsukan status ijazahnya.
Pemuda rompak RM6 dengan pisau dihukum penjara tujuh tahun
Seorang pemuda dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan gara-gara merompak RM6 dengan menghunus pisau kepada seorang buruh.
Che Ismail Mahmood, 25, mengaku bersalah atas perbuatannya di Pengkalan Mat Ludin, Setiu, pada 26 Januari lalu.
Mangsa rompakan itu Muhammad Syaiful Bahri Mahadi, 20, berada di lokasi kejadian bersama rakan sebelum didatangi tertuduh, yang kemudian mengacukan pisau sambil meminta wang.
Bimbang diapa-apakan, mangsa menyerahkan RM6 dan beg galasnya pula dirampas sebelum Che Ismail meninggalkan tempat itu dengan menunggang motosikal.
Aplikasi pantau lokasi isteri catat lebih sejuta pengguna
Satu aplikasi pintar untuk suami menjejaki lokasi isteri mereka pada setiap masa dilaporkan mencatatkan lebih sejuta pengguna melalui Apple iTunes dan Google Play Store di Arab Saudi.
Aplikasi yang dibangunkan kerajaan Arab Saudi dinamakan Absher itu membolehkan orang lelaki dalam sesebuah keluarga menetapkan bila dan bagaimana seorang gadis atau wanita bawah jagaan mereka bergerak di luar rumah.
Sekiranya ada pergerakan mencurigakan, makluman akan disampaikan kepada keluarga wanita itu.
Di bawah undang-undang Arab Saudi, lelaki yang menjadi penjaga sah kepada golongan wanita boleh mengehadkan pergerakan mereka termasuk menggunakan jalan raya dan lapangan terbang tertentu sahaja.