Polis mengesahkan identiti mangsa yang ditemui dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 sebagai Moey Yun Peng.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narensagaran berkata pengesahan itu susulan penemuan dompet mangsa dalam seluar ketika mayat dikeluarkan.
Menurutnya, mayat mangsa berusia 20 tahun ditemui masih sempurna namun membengkak kerana berada dalam air sejak tiga hari lalu.
Kata beliau, mangsa yang masih berada di di tempat duduk pemandu kenderaan itu masih memakai tali pinggang keledar.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarga.
Narensagaran berkata seramai 29 pegawai dan 127 orang petugas, bersama 40 penyelam, terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat selama tiga hari itu.