1. Mahkamah gugurkan kes cabul Shahidan
Mahkamah Sesyen Kangar hari ini, menggugurkan kes bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dalam kejadian pada Oktober tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Ainul Shahrin Mohamad, selepas mangsa yang tampil sebagai saksi kelima tidak mahu meneruskan perbicaraan dan meminta kes berkenaan diselesaikan secara baik antara kedua belah pihak.
Pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail manakala Shahidan diwakili peguam bela Zamri Ibrahim, yang dibantu Zuhair Ahma Zakwan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.
Mengikut pertuduhan, bekas Menteri Besar Perlis itu didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam sebuah kereta jenis Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober tahun lalu
2. Rugi RM68,256 ditipu polis palsu
Seorang wanita berusia 60 tahun, kerugian RM68,256 selepas tertipu melayan panggilan telefon daripada dua individu tidak dikenali, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dihubungi suspek menyamar pegawai Telekom Malaysia yang menghubunginya menggunakan telefon rumah.
Ujar Mohd. Wazir lagi, wanita itu dimaklumkan bil telefon rumahnya yang didaftarkan di Kuala Lumpur, mempunyai tunggakan dan diminta membuat pembayaran segera.
“Mangsa menafikan mempunyai akaun bil telefon rumah yang beralamat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, talian disambung kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai polis,” katanya.
“Mangsa melakukan dua transaksi pemindahan wang, sebelum menyedari telah ditipu oleh suspek dan seterusnya membuat laporan polis,”.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
3. Azis Jamman cedera terlibat nahas di Nabalu
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman cedera ringan selepas terbabit dalam satu kemalangan di Nabalu, Kundasang pagi tadi.
Ketika kejadian, Mohd Azis sedang menunggang motosikal ketika melancarkan program konvoi “Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah” anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kota Kinabalu, Sabah.
Kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi semasa dalam perjalanan konvoi bersama-sama peserta-peserta konvoi lain.
Mohd Azis dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta masih lagi dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
4. JAIS pantau kedai ‘ponteng puasa’
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang Ramadan bermula bulan depan.
Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya komited untuk menjalankan pemantauan berterusan itu bagi memastikan kesucian Ramadan terpelihara.
Pelaksanaan oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan dan Bahagian Pengurusan Halal jabatan itu, merangkumi premis makanan yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka pada waktu siang.
Selain itu, ia membabitkan pemeriksaan ke atas pihak yang mempromosikan hidangan berbuka puasa tanpa memiliki pensijilan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Sekiranya Individu terbabit dengan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana tidak menghormati Ramadan.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
5. Lan Pet Pet, Pak Ya bermaafan
Pengawal keselamatan, Yahya Manap, 68, atau Pak Ya menamatkan persengketaan dengan pelawak Lan Pet Pet.
Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 50, telah bersemuka dengan Pa Ya malam tadi.
Dalam pertemuan hampir dua jam yang dihadiri keluarga dan sahabat baik kedua-dua pihak, permohonan maaf Lan Pet Pet disambut Pak Ya dengan hati terbuka.
Yahya menghormati tindakan Lan yang sanggup bersemuka untuk memohon maaf dengan hati yang ikhlas.
“Tambah Pak Ya lagi, Asalkan Lan insaf dengan perbuatannya, itu sudah cukup. Pak Ya akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik permohonan rayuan supaya hukuman terhadap Lan disemak semula.
Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.