1. Lantikan Latheefa, Nik Nazmi gesa rakyat tandatangan petisyen
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa orang ramai agar menandatangani petisyen mendesak Latheefa Beebi Koya meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, desakan itu selaras dengan komitmen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang berikrar untuk merujuk kepada Jawatankuasa Parlimen terlebih dahulu sebelum pelantikan itu dibuat.
Selain Nik Nazmi seorang lagi wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Paduka Dr Tan Yee Kew turut menyeru orang ramai agar mendesak Latheefa meletakkan jawatan.
Sementara itu,petisyen yang dijalankan di dalam laman sesawang, https://www.change.org telah ditandatangani kira-kira 5,851 individu setakat jam 2.30 petang semalam.2. Muktamar PAS: Hadi, Tuan Ibrahim menang tanpa bertanding
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas mereka diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-65.
Abdul Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.
Pengerusi Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata keputusan itu dibuat selepas tiada calon lain yang menyatakan hasrat untuk bertanding selepas tempoh pencalonan ditutup kira-kira tiga minggu lepas.
Bagi jawatan naib presiden, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan akan bertanding menentang tiga penyandang iaitu Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah dan Iskandar Abdul Samad.3. Siasat wabak cetus kematian Orang Asli Bateq
Pihak berkuasa digesa supaya mengenal pasti segera punca wabak hingga yang meragut nyawa komuniti orang asli di Kampung Kuala Koh.
Ketua Biro Kesihatan, Angkatan Wanita Amanah Negeri (AWAN) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, langkah-langkah untuk mengawal dan menghentikan penyakit berjangkit ini perlu disegerakan bagi mengelakkan lebih ramai terkorban.
Kata beliau, komuniti orang asli di perkampungan itu perlu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala penyakit seperti yang dialami mangsa dan berharap agar masyarakat sentiasa peka dalam menjaga kesihatan dan kebersihan persekitaran.
Dr Hafidzah berkata, wabak penyakit yang melanda komuniti orang asli itu mengundang rasa duka kerana ia meragut 2 nyawa manakala puluhan lain termasuk tiga bayi dimasukkan ke hospital.4. Tertinggal anak di kedai makan
Sebuah keluarga yang dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, Kelantan selepas bercuti di Pulau Perhentian berdepan saat mendebarkan apabila menyedari anak lelaki mereka tertinggal di kedai makan tengah hari semalam.
Ketiadaan Akif Akmal Nizam, 6 tahun, disedari tertinggal selepas mereka berhenti makan di sebuah warung di Bandar Permaisuri oleh ibu bapa mereka sebaik tiba di Gua Musang kira-kira jam 5 petang.
Bapa saudara kanak-kanak tersebut, Mohd Amirul Amin Amran, 28 tahun, berkata, dia dan tiga sekeluarga termasuk keluarga Akif Akmal baru sahaja pulang dari bercuti selama tiga hari di pulau peranginan itu.
Pada awalnya ibu bapa Akif menyangka anaknya menaiki kereta ahli keluarganya yang sebuah lagi untuk pulang ke Gua Musang sebelum merancang pulang ke Kajang, Selangor malam semalam.5. Putus cinta punca lelaki nekad terjun dari tingkat 4 BSI
Kecewa akibat putus cinta dan masalah kewangan dipercayai menjadi punca utama seorang lelaki mahu terjun dari tingkat empat Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, semalam.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 31 tahun itu berjaya dihentikan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuknya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 petang di tingkat empat Bangunan Sultan Iskandar berhampiran kawasan tempat keluar bas.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu cuba terjun akibat putus cinta dan masalah kewangan. Di samping, lelaki itu turut mengaku ada mengambil dadah jenis syabu ketika kejadian.