Kerajaan fail saman lucut hak harta Najib, Rosmah RM711 juta
Kerajaan dan pihak polis telah memfailkan dua saman pelucuthakan terhadap barangan mewah bernilai RM711 juta termasuk kereta mewah dan hartanah yang dimiliki oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Memetik laporan The Edge, dua notis usul dan kenyataan bertulis sokongan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk merampas barangan yang didakwa dibeli dengan dana daripada syarikat pelaburan kontroversi, 1MDB.
Menurut sumber, notis pertama yang difailkan semalam adalah untuk merampas harta di kawasan Lembah Klang termasuk wang tunai, barang kemas, beg tangan, jam tangan dan cermin mata hitam yang bernilai RM680 juta.
Perisytiharan kedua pula adalah untuk merampas barangan bernilai RM31 juta termasuk 27 buah kereta mewah, wang tunai, 29 akaun bank, jam tangan dan beg.
Difahamkan tindakan melucut hak harta berkenaan dilakukan di bawah Unit Anti Pencegahan Pengubahan Wang Haram turut dibantu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedai makan di Kelantan boleh beroperasi waktu tarawih
Peniaga premis makanan di Kelantan masih boleh meneruskan operasi antara pukul 8.30 malam hingga pukul 10 malam di bulan Ramadan seperti biasa.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, arahan menutup premis pada waktu tersebut masih lagi di peringkat pentabiran iaitu dari Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi polemik kerana masih di peringkat awal dan belum ada sebarang notis lagi dikeluarkan kepada peniaga.
Beliau berkata demikian mengulas surat arahan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tular sejak kelmarin supaya premis makanan ditutup sementara dari pukul 8.30 malam hingga pukul 10 malam bagi menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat tarawih.
4 jemaah terselamat bumbung masjid di Terengganu runtuh
Empat jemaah Masjid Kampung Mengabang Tengah (Masjid Haji Muhammad), Kuala Terengganu terselamat selepas sebahagian struktur bumbung masjid itu yang sedang dalam pembinaan runtuh malam semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 10.30 malam itu, menara iaitu tapak kubah masjid yang sedang dibina untuk naik taraf masjid runtuh ketika hujan lebat.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Pusat Gerakan Operasi Kuala Terengganu, Mohd Roslan Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 10.37 malam.
Beliau berkata, tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika kejadian, jemaah baru selesai menunaikan solat terawih dan sedang bertadarus, bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Empat didenda RM1,000 gara-gara bawa ayam naik bas ekspres
Empat individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas kesalahan mengangkut 13 ekor ayam jantan menggunakan bas ekspres tanpa permit, April tahun lalu.
Keempat-empat tertuduh, Fauzi Yazid, 47; Nik Nurilham Muhamad@Afandi, 41; Mohd. Zulhilmi Amzar Zuhaimi, 27, dan Raja Alfaisal Raja Azlan, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret, Nurasidah A. Rahman.
Keempat-empat mereka dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,000, manakala mahkamah turut memerintahkan Nik Nurilham, Raja Alfaisal dan Fauzi membayar kos penjagaan dan rawatan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Platform B, Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru pada pukul 11.20 pagi pada 7 April tahun lalu.
Aceh larang warung kopi beroperasi semasa solat tarawih
Datuk Bandar Aceh, Aminullah Usman mengarahkan semua warung kopi di wilayah itu ditutup ketika umat Islam menunaikan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata, arahan itu sudah disampaikan kepada orang ramai menerusi Forum Koordinasi Pimpinan Daerah atau Fokopimda.
Aminullah turut mengingatkan peniaga makanan supaya tidak beroperasi dan hanya memulakan perniagaan mereka pada jam 4 petang setiap hari sepanjang Ramadan.
Katanya, beliau telah mengarahkan polis syariah Aceh untuk meningkat pengawasan dan menangkap penduduk yang tidak berpuasa.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam.