Kelantan terima projek RM1.4 bilion, Kedah RM4.8 bilion daripada kerajaan
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi komited mendukung sepenuhnya tujuh teras strategik yang telah digagaskan oleh kerajaan untuk mempelopori matlamat Kemakmuran Bersama menerusi pembangunan secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif .
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata untuk itu, kementeriannya telah memulakan langkah dengan mula melaksanakan teras strategik keenam, pembangunan wilayah yang inklusif, untuk menangani jurang pembangunan antara wilayah.
Justeru itu, MEA telah meluluskan projek-projek pembangunan dan infrastruktur yang bernilai RM4.8 bilion di Kedah dan RM1.4 bilion di Kelantan bagi membangunkan pusat-pusat ekonomi yang komprehensif di seluruh pelosok negara.
Sebagai kementerian yang memberikan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang adil, MEA turut akan memberikan tumpuan kepada penciptaan industri-industri baru seperti yang diungkapkan dalam teras strategik kedua, sektor pertumbuhan baru bagi menjana ekonomi negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Walaupun setahun, PH tetap gagal: Nik Abduh
Walaupun sudah setahun memerintah, namun Pakatan Harapan tetap gagal menunaikan tanggungjawab terutamanya melibatkan janji dengan rakyat.
Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rakyat membuat hukuman dan marah terhadap kerajaan dan semua pihak melihat kesan dan pandangan tersebut.
Selain itu katanya, apa yang dikatakan Pakatan Harapan mengenai UMNO juga didakwa banyak ditokok tambah.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu juga berkata, bertambah parah lagi dalam waktu setahun ini tiada jaminan bahawa Pakatan Harapan yang dianggotai lima parti itu akan menjadi parti yang kukuh.
Malah, katanya, Pas juga melihat Pakatan Harapan semakin retak dan bagaikan tiada ubat yang boleh menjamin sepanjang tempoh itu.
Akta Hasutan akan dimansuhkan
Akta Hasutan 1948 dijangka dimansuhkan tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar baru-baru ini bersempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan, Vui Keong berkata, selepas pemansuhan akta itu, satu formula baharu akan diperkenalkan untuk menggantikannya.
Katanya tindakan itu bagi memastikan bahawa tidak semestinya semua kenyataan yang dibuat boleh menghasut kerana mahu ingin memastikan kenyataan tertentu mendapat beberapa bentuk kebebasan, tetapi bukan untuk membenarkan semua orang untuk membuat kenyataan yang mencemarkan nama raja dan pemimpin khususnya.
Senarai Exco baharu Perak diumum dalam masa terdekat: MB
Senarai barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak dijangka diumum dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata senarai nama barisan Exco yang dicadangkan perlu mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah terlebih dahulu.
Katanya, sebelum itu, beliau akan dengan semua pucuk pimpinan parti kompenan Pakatan Harapan dan mendapatkan perkenan Sultan Perak.
Kata Ahmad Faizal, selepas dapat tarikh dari istana, satu majlis angkat sumpah akan diadakan secepat mungkin.
Polis buru warden pusat tahfiz di Kangar disyaki liwat pelajar
Polis sedang memburu seorang warden sebuah pusat tahfiz di Kangar, yang disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar lelaki pusat itu sejak April lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata laporan mengenai kejadian dibuat salah seorang guru pusat tahfiz berkenaan di Balai Polis Simpang Empat pada jam 11.25 pagi hari ini.
Katanya, berdasarkan laporan awal, suspek berusia lingkungan 30-an dipercayai meliwat dua pelajar berusia sembilan dan 15 tahun selain mencabul tiga pelajar lain berusia antara sembilan ke 12 tahun.
Difahamkan, siasatan dalaman yang dilakukan pusat tahfiz kemudian mendapati terdapat empat lagi pelajar turut menjadi mangsa warden terbabit, tetapi tidak membuat aduan kerana turut diugut suspek.