Dialog ‘fatwa’ wajib jatuhkan PH, Zawawi mahu lawannya setaraf
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian Agama) membuka ruang kepada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh untuk berdialog berhubung isu ‘fatwa’ di dalam slot rancangan Analisis TV Hijrah pada minggu ini, secara langsung.
Setiausaha Politik kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Abang Ahmad Kerdee Abang Magasus bagaimanapun berkata Muhammad Zawawi mahu dialog tersebut disiar secara langsung.
Selain itu katanya, Muhammad Zawawi turut meletakkan ‘syarat tambahan’ agar ‘regu dialognya’ nanti adalah setaraf keilmuan agamanya.
Sehubungan itu katanya, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz selaku Pengarah Syariah Nasional Amanah dan Timbalan Yang Di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dicadangkan bagi menjayakan dialog tersebut.
Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh perbicaraan
Mahkamah hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusan ringkasnya, mengatakan tidak ada kepastian anggota parlimen akan mengundi terhadap rang undang-undang tertentu apabila Shafee berhujah adalah penting bagi Najib menghadiri Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, Shafee memohon prosiding hari ini ditangguhkan kerana anak guamnya perlu hadir di Dewan Rakyat untuk mengundi pada dua RUU yang mewajibkan semua anggota mewajibkan anggota parlimen untuk mengisytiharkan aset mereka dan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Jangan bertelagah bila Zahid kembali
Bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali memimpin parti itu tidak memecah belahkan parti.
Kata Hishammuddin, Zahid berhak kembali memimpin parti dan berharap UMNO semakin kukuh.
Semalam Zahid mengumumkan kembali menyambung tugas sebagai presiden Umno setelah bercuti kira-kira enam bulan.
Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas pada 18 Disember lalu ketika desakan agar beliau meletakkan jawatan kerana berdepan banyak pertuduhan rasuah di mahkamah.
10 peratus orang Islam Johor amal fahaman Liberalisme
Kira-kira 10 peratus umat Islam di Johor yang berusia antara 40 hingga 50 tahun ke atas mengamalkan fahaman liberalisme, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi.
Menurut rata-rata mereka terdiri daripada golongan intelektual, hasil siasatan pasukan khas menangani fahaman itu yang ditubuhkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal tahun ini.
Beliau berkata, biarpun fahaman liberalisme di negeri itu masih terkawal, namun kerajaan negeri tetap memandang serius perkara tersebut.
Tosrin berkata, bagi membendung penularan fahaman itu, kerajaan negeri akan mempertingkatkan usaha termasuk mempergiatkan risikan dan pemantauan.
Dipenjara sehari curi durian Musang King rm400
Hanya kerana durian Musang King, seorang pekerja bazar malam (uptown) terpaksa meringkuk di penjara sehari selepas mengaku bersalah mencuri raja buah itu, di sebuah pasaraya, awal bulan lalu.
Majistret, Rini Triany Muhamad Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Luqman Hakim Yusof, hari ini dan memerintah lelaki itu membayar denda RM1,000.
Berdasarkan pertuduhan, Luqman Hakim,24, mengaku bersalah mencuri lima paket durian Musang King kepunyaan Pasaraya Aeon bernilai RM400.
Kesalahan itu dilakukannya di premis pasaraya itu di Seksyen 13, Shah Alam, jam 6 petang pada 1 Jun lalu.