Anwar jangka jadi PM kurang dua tahun lagi
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan akan mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh kurang dua tahun.
Dalam wawancara bersama Bloomberg Television, Anwar berkata, beliau bagaimanapun mahu memberi cukup masa kepada Dr Mahathir untuk mentadbir secara berkesan.
Anwar berkata, adalah penting untuk membenarkan Dr Mahathir mentadbir negara secara efektif kerana Pakatan Harapan dalam keadaan rumit dan mencabar.
Sebelum ini, Dr Mahathir memberi jaminan beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri melebihi dua tahun walaupun rakyat memintanya berbuat demikian.
Dr Mahathir berkata beliau akan tetap berpegang kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Anwar.
MP UMNO masuk Bersatu: Azmin puas hati penjelasan Tun M
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan beliau menerima penjelasan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kemasukan tujuh Ahli Parlimen Umno ke dalam parti itu, Selasa lalu.
Menurutnya, Dr Mahathir telah membuat penjelasan panjang lebar dan beliau menerimanya.
Azmin berkata, tujuh Ahli Parlimen tersebut akan memainkan peranan memberi penjelasan kepada ahli UMNO supaya mereka menyokong kepimpinan Dr Mahathir.
Selasa lepas, enam Ahli Parlimen Umno diterima menyertai Bersatu dan penyertaan mereka diumumkan sendiri Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tak pernah lagi syarikat judi taja lawatan polis: Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangkis dakwaan kerajaan bahawa BN telah meluluskan lawatan polis ke Turki pada 2017.
Menurut Najib, sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, perkara seperti penajaan untuk lawatan daripada syarikat judi tidak pernah berlaku.
Semalam, Guan Eng mengesahkan tajaan lawatan kerja Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan beberapa pegawai kanan polis ke Turki telah diluluskan sejak 2017 lagi oleh Lembaga Pengarah syarikat berkanun, Totalisator Malaysia.
Dalam pada itu, Najib melahirkan rasa pelik apabila lawatan yang hanya dijalankan baru-baru ini telah diluluskan dua tahun sebelumnya.
Najib turut mempertikaikan tindakan Guan Eng yang kerap menuding jari kepadanya dan kerajaan BN.
Lawatan ke Turki bukan kesalahan: Muhyiddin
Lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama beberapa pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki bukan menjadi satu kesalahan kerana ia bukan ditaja secara langsung oleh syarikat swasta.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lawatan itu ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam yang menyatakan lawatan itu tidak diluluskan oleh kementeriannya tetapi oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia, yang mana syarikat itu mendapat sumber kewangan dari syarikat nombor ramalan (Da Ma Cai).
Muhyiddin berkata, isu mengenai dari mana lembaga berkenaan memperoleh sumber kewangan merupakan isu yang berbeza.
UMNO yakin sentuhan Bossku di Semenyih
Sambutan hebat diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pasar raya di Semenyih kelmarin menunjukkan rakyat merindui zaman pemerintahannya.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ia juga memberi gambaran BN akan meneruskan rentak kemenangan di PRK Semenyih selepas PRK Cameron Highlands.
Menurutnya, BN akan berusaha tanpa henti untuk merampas kembali kerajaan dan kemenangan di PRK Cameron Highlands menjadi pembakar semangat jentera di Semenyih.
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Najib kini sudah menjadi satu fenomena dan ia memberi kelebihan kepada BN dalam PRK Semenyih.