Jangan terpedaya janji PH: Tuan Ibrahim
Pengundi di Cameron Highlands diingatkan supaya tidak terus terpedaya dengan janji-janji yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan memandangkan masih banyak manifesto mereka gagal ditunaikan sehingga hari ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa janji yang ditawarkan Pakatan Harapan ketika kempen PRU14 lalu antaranya memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan tol masih gagal tertunai.
Beliau turut memberi jaminan Pas akan menggerakkan semua penyokong dan ahli parti itu membantu calon BN meraih kemenangan dalam PRK Cameron Highlands.
Pertukaran bos Imigresen tiada kaitan pembatalan kontrak RM3.5 bilion: Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan pertukaran ketua pengarah Jabatan Imigresen baru-baru ini ada kaitan dengan pembatalan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (Skin) yang bernilai RM3.5 bilion.
Menurutnya, tuduhan itu berniat jahat dan ia mungkin sengaja dibuat pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri membatalkan projek Skin yang dipersetujui Jemaah Menteri.
Beliau turut menafikan laporan portal berita yang mendakwa kontrak sistem baru itu sudah diberikan kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengan seorang pegawai kanan KDN.
Pas sokong Tun M haramkan atlet Israel masuk Malaysia
PAS menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan atlet Israel memasuki Malaysia bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata, keputusan kerajaan tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dalam sebarang acara bertaraf antarabangsa dan tempatan.
Sebelum ini, Tun Mahathir menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan itu yang akan berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Inkues Adib: Lebih 30 saksi dipanggil beri keterangan
Lebih 30 saksi dijangka akan dipanggil pada prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali, Hamdan Hamzah berkata, daripada jumlah itu, tujuh saksi professional yang terdiri daripada enam pegawai perubatan dan seorang pengawai penyiasat kes.
Menurutnya, pihaknya turut akan memanggil polis, bomba dan ahli keluarga Muhammad Adib sebagai saksi.
Mahkamah turut menetapkan perbicaraan berlangsung selama 44 hari bermula 11 Februari sehingga 11 April.
PRK Dun Semenyih 2 Mac ini
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon telah ditetapkan pada 16 Februari manakala pengundian awal pada 26 Februari.
Kerusi DUN Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, meninggal dunia pada 11 Jan lalu di Hospital Kajang akibat serangan jantung.