1- Zikir berdiri: Hormati perbezaan, elak perpecahan : Fuziah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyambut baik pandangan dikeluarkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung kontroversi zikir dilakukan sekumpulan penduduk di sebuah kampung di Ulu Tembeling di Jerantut baru-baru ini.
Beliau menerima pandangan tersebut secara terbuka meskipun tindakan sekumpulan penduduk yang berzikir sambil berdiri dan menggoyangkan badan itu pernah dianggap sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fuziah menegaskan, beliau menghormati pandangan mufti negeri berhubung wujudnya khilaf dalam isu terbabit dan meminta semua pihak turut menghormati perbezaan pendapat dalam beragama itu bagi mengelak perpecahan.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 12 saat dan dua lagi klip berdurasi 22 saat didakwa berlaku di sebuah kampung di Jerantut pada 11 Julai lalu.
Aktiviti berkenaan tular di Facebook dikatakan diketuai seorang lelaki berasal dari Terengganu.
Sinar Harian baru-baru ini melaporkan hasil temu ramah bersama Fuziah yang mengatakan aktiviti tersebut menyimpang dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
2-Azmin sokong Tun M jadi PM hingga akhir penggal
Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan UMNO menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
Kata beliau, dukungan bipartisan terhadap Dr Mahathir merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan.
Tambah Ahli Parlimen Gombak itu, perbezaan politik sentiasa wujud dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
3- Beri peluang guru didik pelajar : Maszlee
Guru perlu diberi ruang dan hak dalam proses mendidik pelajar di sekolah sama ada di tempat terbuka ataupun dalam bilik darjah tanpa diganggu pihak luar termasuk ibu bapa.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata guru mempunyai tanggungjawab mendidik pelajar dalam usaha merealisasikan matlamat pendidikan negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ismail Yusop mengenai pendirian Kementerian Pendidikan terhadap segelintir ibu bapa yang menceroboh masuk ke kawasan sekolah dan menularkan kejadian itu di media sosial.
Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan seorang guru diserang dan dimarahi dua lelaki dalam kawasan sekolah di pantai timur akibat salah faham mengenai dakwaan mengeluarkan perkataan tidak enak terhadap isteri seorang daripada lelaki terbabit.
4- Pencemaran air punca kecuaian, bukan sabotaj
Polis hari ini mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung kes pencemaran diesel di Sungai Selangor, sebaliknya ia adalah akibat kecuaian.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mendapati pencemaran itu ekoran kecuaian pekerja syarikat yang dilantik Kerajaan Negeri untuk membersihkan sungai berkenaan.
Khamis lalu, polis menahan pengusaha pontun dan pekerjanya berusia awal 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan punca pencemaran diesel di sungai berkenaan.
Abdul Hamid berkata, seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala tempoh tahanan reman seorang lagi yang tamat hari ini, akan dilanjutkan.
5- Bapa tidak mengaku rogol anak kandung
Seorang bapa bakal berdepan hukuman penjara 30 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping di sini hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya, bulan lalu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.
Tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan dengan anak perempuannya berusia 19 tahun di sebuah rumah di Rantau Panjang, Selama pada Jun lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.