Ya, saya pencuri hati rakyat: Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak tak terasa hati apabila Datuk Seri Azmin Ali menggelarnya “pencuriku” untuk menjawab slogan “bossku” yang sering digunakan para penyokong bekas perdana menteri.
Sebaliknya dia dengan nakalnya menterbalikkan slogan timbalan presiden PKR itu, ketika hari penamaan pilihan raya kecil Dun Semenyih semakin dekat dengan mengatakan bahawa beliau pencuri hati rakyat,” katanya di Semenyih malam tadi.
Tindak balas presiden Umno kepada serangan lawan disambut dengan sorakan ratusan orang yang berkerumun apabila terdengar akan kunjungan spontan bekas presiden Umno ini.
Azmin di pelancaran bilik gerakan Wanita Pakatan Harapan sempena PRK Dun Semenyih dilapor meminta pengundi di Semenyih jangan terpengaruh dengan kempen “bossku” seperti di Cameron Highlands.
Mujahid minta maaf, sahkan kereta miliknya di parkir OKU
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof mengesahkan gambar tersebar di media sosial membabitkan kereta yang parkir di petak khas orang kelainan upaya (OKU) adalah kenderaannya.
Menteri di Jabatan Perdana itu berkata, anak-anaknya menggunakan petak khas parkir OKU kerana merasakan ia dapat memberi kemudahan kepada ayah mertuanya yang uzur dan berkerusi roda.
Kata beliau, sewaktu kejadian, anak-anak saya membawa datuk mereka untuk makan di restoran tersebut dan menggunakan kemudahan parkir OKU kerana merasakan ia dapat memberi kemudahan kepada datuk mereka yang uzur.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf bagi pihak anak-anaknya.
Sebelum itu, seorang pengguna Facebook memuat naik sekeping gambar sebuah kereta berjenama Honda yang lengkap memaparkan emblem ahli Parlimen di laman sosialnya.
Wanita maut kepala digilis lori
Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 2.9, Lebuh Raya Damansara Puchong menghalang ke Subang Jaya, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.31 petang itu, mangsa, Mifthahul Jannath Meera Mydin, 32, maut di tempat kejadian akibat cederah parah di kepala manakala suaminya, Mohd. Izwan Abu Bakar, 34, cedera di bahagian kaki.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha EX5 dinaiki pasangan terbabit bergesel dengan lori sebelum mangsa yang juga pembonceng terjatuh dan digilis di bahagian kepala.
PSM pilih Nik Aziz calon PRK Semenyih
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menamakan ahlinya, Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.
Pengerusi Nasir Hashim percaya Nik Aziz pilihan tepat untuk melakukan perubahan di Dun Semenyih.
Nik Aziz merupakan anak jati Semenyih yang kini merupakan aktivis sepenuh masa disamping menjalankan perniagaan urut tradisional di Semenyih Sentral.
Bagaimanapun, beliau sering terlibat dalam kerja-kerja membantu masyarakat antaranya misi membantu mangsa banjir di Kelantan pada 2015 dan 2017.
Gambar Mohd Syukur bersama kerbau mara pertandingan akhir CAPA India 2019
Gambar ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukur Khamis, bersama kerbau peliharaan keluarganya terpilih ke pertandingan akhir Anugerah Fotografi Akademi Camarena (CAPA) India 2019.
Berita mengenai gambar ‘Syukur The Kampung Boy’ itu dikongsikan jurugambarnya, Abdullah Dean Mohd Zain, 44, atau lebih dikenali dengan panggilan Dallah Deen, melalui laman Instagram dan Facebook beliau, semalam.
Pertandingan menawarkan hadiah utama wang tunai 1 lakh rupee India (RM5,748) itu turut mencalonkan sembilan gambar lain yang dirakam jurugambar dari seluruh dunia, termasuk India, Pakistan dan Dubai.