1. Walau terkejut, Najib tidak minta saya buat laporan polis, SPRM: Shamsul Anwar
Najib Razak tidak meminta rakan-rakannya untuk membuat laporan walaupun diberitahu bahawa seseorang secara tidak sengaja memindahkan RM42 juta ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu,
Dalam keterangannya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Dr Shamsul Anwar Sulaiman berkata Najib dikatakan kecewa apabila mengetahui RM42 juta dipindahkan dari akaun Ihsan Perdana ke akaun AmIslamic miliknya.
Walau bagaimanapun, semasa disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, saksi itu berkata, walaupun kelihatan kecewa dengan berita berkenaan, bekas perdana menteri tidak mengarahkannya untuk membuat sebarang laporan.
Shamsul, saksi ke-37, memberi keterangan dalam perbicaraan hari ke-20 melibatkan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan RM42 juta dana anak syarikat bekas 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
2. PM sentuh soal risiko teknologi, geopolitik pada Persidangan Nikkei
Dinamik yang sering berubah-ubah dalam order antarabangsa dan bagaimana teknologi baharu mencorak masa depan akan menjadi intipati ucaptama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pembukaan Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-25 (Persidangan Nikkei) esok.
Pada tahun ini persidangan itu dijangka bakal menyaksikan perbincangan hangat memandangkan dunia kini dilanda pelbagai ketidaktentuan termasuk perang perdagangan Amerika-China, persaingan untuk menjadi kuasa ketenteraan berteknologi tinggi dan kebangkitan dasar perlindungan.
Perdana Menteri akan menjadi pemimpin pertama yang akan menyampaikan ucapatama pada persidangan itu tahun ini, yang tepat bertajuk “Mencari Order Baharu Dunia – Mengatasi Huru-hara”.
Para pemimpin Asia lain yang juga dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan itu ialah Perdana Menteri Bangladesh Sheik Hasina, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.
3. MIC perlu jadi semak dan imbang pada PH – Penganalisis politik
MIC perlu menjadi elemen semak dan imbang kepada Pakatan Harapan dalam usaha menawan semula pengundi masyarakat India agar kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.
Berkongsi pandangan itu, penganalisis politik Anbumani Balan juga menyambut baik tindakan pimpinan MIC memberi ruang kepada pemimpin India daripada parti lain menyertai parti itu yang merupakan parti komponen tunggal mewakili masyarakat India dalam gabungan BN.
Presiden MIC SA Vigneswaran sebelum ini mengesahkan bahawa Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) akan dibubarkan dan pengasasnya S Nallakaruppan akan menyertai MIC.
4. Keluarga Adib tiada hasrat saman KPKT, JPBM
Keluarga anggota bomba dan penyelamat (JBPM) yang terkorban akibat rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak pernah berhasrat untuk ambil tindakan undang- undang terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JPBM.
Abang sulung mangsa, Mohd Asraf berkata, tidak timbul sebarang isu lantikan peguam Syazlin Mansor yang mewakili KPKT, JPBM dan keluarga.
Mohd Asraf,31 tahun, yang pertama kali mengeluarkan kenyataan kepada media berkata, tidak timbul isu akan berlaku konflik kepentingan antara tiga pihak, yang mana keluarga dikatakan berbeza pendirian dengan KPKT dan JBPM, dan kemungkinan keluarga memfailkan saman terhadap KPKT dan JPBM.
5.Enam maut minum arak tiruan
Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala yang lain jatuh sakit selepas minum arak tiruan di utara India.
Insiden itu berlaku di kawasan Ramnagar dalam daerah Barabanki, kira-kira 58 kilometer di timur Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.
seorang pegawai kanan polis,balai polis Ramnagar berkata setakat ini pihaknya menerima maklumat mengenai kematian enam orang akibat pengambilan arak tiruan dan ramai lagi yang dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan mangsa yang maut adalah 12 orang.
Laporan menyebut penduduk tempatan membeli arak itu dari sebuah kedai eksais dan meminumnya sebelum mereka mengadu mual serta pening kepala.