Guru wanita Sekolah Kebangsaan (SK) Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang, Nur Farhana Ibrahim, yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu, telah datang sendiri ke Balai Polis Kuala Kangsar dengan berjalan kaki, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, ustazah berkenaan yang tiba di balai polis tersebut kira-kira pukul 3.15 petang, berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, ustazah berkenaan sukar untuk mengingati apa yang berlaku sepanjang kehilangannya yang bermalam di surau untuk tidur.
Sebelum ini, media melaporkan guru berkenaan yang mengalami masalah kemurungan disedari hilang selepas gagal dihubungi suaminya kira-kira pukul 4.30 petang pada Isnin lalu sebelum mendapati dia tidak membawa telefon bimbit ke sekolah.
Pihak sekolah turut memaklumkan wanita tersebut mengajar seperti biasa pada Isnin, namun tidak hadir pada Selasa.
Barangan peribadinya seperti beg duit, kunci kereta dan alat tulis milik guru itu didapati masih berada di atas meja di bilik guru selain keretanya ditemui berada di luar pagar sekolah.