- UMNO belajar dari Pas jadi pembangkang
UMNO perlu belajar daripada Pas yang berpengalaman sebagai sebuah parti pembangkang dihormati di negara ini, demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail.
Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua parti terbesar Melayu itu memberi peluang kepada UMNO belajar bagaimana menjadi pembangkang terbaik yang diterima rakyat.
Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar berkata, kerjasama politik antara kedua-dua parti itu amat dinantikan masyarakat setempat terutama di DUN berkenaan.
Malah, katanya, beliau yakin sekiranya kerjasama itu berterusan, DUN Sungai Air Tawar kekal mampu menjadi kubu kuat pembangkang.
- Hutang dan liabiliti kerajaan menurun: Guan Eng
Kerajaan berjaya mengawal dan mengurangkan hutang serta liabiliti kerajaan secara keseluruhan kepada 75.4 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 peratus berbanding tahun 2017.
Menurutnya, penurunan itu disebabkan rasionalisasi ke atas kos projek-projek mega serta pembayaran Kerjasama Awam Swasta atau Public-Private Partnership (PPP).
Tambah beliau, kos projek ECRL pula telah diturunkan kepada RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion dengan penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.
- Kes Abang Botak: Denda sudah memadai
Hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang pembantu stor, Danial Abdullah Tan, 31, disifatkan terlalu berat.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, memandangkan Danial atau dikenali sebagai ‘Abang Botak’ sudah insaf dan mengakui kesalahannya, mungkin hukuman denda adalah memadai.
Bagaimanapun, Lam Thye berkata, selain denda, Abang Botak juga harus diberikan amaran yakni akan dikenakan tindakan lebih tegas sekiranya dia mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang termasuk hukuman penjara.
Beliau yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berpendapat, tindakan ganas dan hilang kawalan seperti itu juga boleh dikaitkan dengan masalah mental atau tekanan perasaan.
- Drawbridge dibuka pada umum bermula semalam
Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ buat pertama kalinya dibuka kepada orang awam pada jam 7 pagi semalam.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembukaan jambatan itu sehingga 17 Jun ini adalah untuk pentauliahan.
Selain itu katanya, ia bagi pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya, dan koordinasi sistem penyuraian trafik.
Katanya, ujian dijalankan pada tarikh berkenaan kerana ia adalah waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek ini siap sepenuhnya, sekali gus memberi keselesaan sempena musim perayaan Aidilfitri.
- Yayasan PETRONAS ceriakan kanak-kanak kanser
Para sukarelawan Yayasan PETRONAS, dalam semangat Ramadan, melawat wad kanser kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (WCH) minggu lalu, mengejutkan 40 kanak-kanak dengan mainan dan duit raya.
Lawatan itu, sebahagian daripada program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS, juga menyaksikan 20 sukarelawan menghabiskan masa dengan pesakit kanser muda berusia antara dua bulan dan 17 tahun.
Bercakap pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman, berkata ia adalah pengalaman yang merendah diri dengan anak-anak dan ibu bapanya, untuk melihat kekuatan mereka dalam menghadapi kesukaran.
Selain mengedarkan mainan untuk kanak-kanak, para sukarelawan juga menyerahkan lampin dan susu kepada Kumpulan Ibu Bapa Dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS).