1.Tun M tak mahu ‘diperguna’ dalang video intim
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak sanggup diperalat oleh dalang yang berniat jahat membuat dan menularkan satu rakaman video intim bagi menjatuhkan pemimpin tertentu.
Katanya, dalang yang membuat video berkenaan berharap selepas tularnya rakaman tersebut pemimpin yang disasarkan mereka akan disingkirkan.
Kata Dr Mahathir, kes video terbabit akan ditangani sebagai isu politik kerana sekiranya beliau mengambil sebarang tindakan maka ia bermakna perancangan dalang terbabit telah berjaya
Kenyataan terbaru yang dibuat Dr Mahathir itu difahamkan merujuk kepada satu rakaman video intim melibat bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong dengan lelaki yang mirip seorang menteri Kabinet.
2.Nyanyian ‘Selamat Hari Lahir’ sambut ketibaan Najib di mahkamah
Nyanyian lagu ‘ALLAH Selamatkan Kamu’ menyambut ketibaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sempena hari kelahiran beliau ke-66 hari ini.
Ketibaan Najib di lobi Mahkamah jam 11 pagi untuk memgikuti prosiding perbicaraan SRC International disambut beberapa penyokongnya iaitu ‘Team Mahkamah Dato’ Seri’ yang menunggu dengan kek dan hadiah.
Penyokongnya mula menyanyikan lagu ‘selamat ulang tahun’ sebelum Ahli Parlimen Pekan itu meniup lilin dan berbual mesra sambil menyatakan beliau terharu dengan sokongan.
Beliau sempat menyuap sepotong kek sebelum diiring ke kamar mahkamah.
3.Siapa di belakang Wan Ji?
Meskipun disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara setahun, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin masih boleh berceramah di sebuah masjid di Melaka dua hari lepas sehingga tercetusnya kekecohan di sana.
Situasi berkenaan membuatkan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahya merasakan penceramah itu tidak bergerak berseorangan dan ada pihak berada di belakangnya.
Menurutnya, tindakan beliau berceramah di masjid berkenaan seolah-olah cuba mencetuskan provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia.
4.Masuk Bersatu bukan sebab projek : Norman
Penyanyi, penggubah lagu dan usahawan,Datuk Norman Abdul Halim, menafikan penyertaannya menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertujuan memudahkan laluannya untuk mendapat projek seliaan kerajaan.
Norman yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment berkata, dakwaan segelintir pihak bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai Kumpulan Syarikat KRU bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini ada kaitan dengan penyertaannya dalam Bersatu sebagai tidak berasas.
Katanya, sejak bertahun-tahun lalu, KRU Entertainment menjalinkan kerjasama dengan UiTM untuk program latihan industry.
Norman menyerahkan borang keahlian seumur hidup untuk menjadi anggota Bersatu pada 9 Julai lalu.
Sebagai rekod, Norman yang sebelum ini pernah bersama Umno mengaku sudah tidak aktif sebagai anggota parti itu sejak 2015.
5.Selepas harimau, beruang pula masuk kampung
SELEPAS menangkap seekor harimau di Dungun pada Jumaat lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri berjaya menangkap seekor beruang matahari di Kampung FELDA Belara, Kuala Terengganu, hari ini.
Pengarah PERHILITAN Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, beruang matahari itu disedari memasuki perangkap dipasang PERHILITAN pada 7.30 pagi oleh seorang penduduk selepas ia dialihkan daripada lokasi awal yang dipasang sejak dua minggu lalu.
Menurut beliau, pihaknya memasang perangkap untuk menangkap beruang berkenaan yang juga dikenali sebagai beruang anjing sejak dua minggu lalu selepas menerima aduan penduduk kerana ternampak beruang itu berlegar di kawasan perkampungan itu.