Tun M sahkan kontrak ECRL batal
Selepas beberapa kenyataan mengelirukan oleh menteri-menteri Pakatan Harapan berhubung pembatalan kontrak Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat China Communications Construction Company (CCCC), Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengesahkan kontrak itu dibatalkan.
Tun Mahathir berkata, kontrak ECRL terpaksa ditamatkan kerana kerajaan menanggung beban hutang yang tinggi.
Menurutnya, kerajaan bukan tidak mahu menghormati kontrak sedia ada, tetapi tidak mampu membayar kontrak yang menelan belanja lebih RM100 bilion.
Mungkinkah Semenyih juga bakal milik BN?
Momentum kemenangan BN di Cameron Highlands mungkin dapat diteruskan parti itu dalam PRK Semenyih.
Penganalisis politik, Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata, kerjasama BN dengan Pas adalah untuk menarik sebanyak mungkin undi daripada orang Melayu.
Menurutnya, Umno dan Pas di Semenyih perlu melihat kekuatan parti berdasarkan sokongan orang Melayu sekaligus meneruskan momentum kemenangan.
Beliau berkata, sekiranya calon Umno dengan sokongan Pas dapat menarik jumlah undi Melayu sekitar 70 peratus, mereka ada peluang untuk menang.
Tidak perlu syarat kerjasama Umno, Pas: Mohd Amar
Pas tidak perlu menetapkan sebarang syarat melibatkan kerjasamanya dengan Umno pada masa kini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ini kerana kerjasama yang terjalin hanyalah berlandaskan hubungan antara pembangkang dengan pembangkang.
Menurutnya, setakat ini belum ada hubungan secara rasmi sebagaimana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyebut kerjasama itu hanyalah untuk menghadapi pilihan raya sahaja.
PDRM teliti aspek kesalahan Manogaran
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti aspek kesalahan terhadap calon Pakatan Harapan, M Manogaran susulan laporan polis yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana melanggar undang-undang pilihan raya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata, pihaknya akan mengkaji aspek kesalahan sama ada ia berkaitan dengan tanggungjawab polis, SPR atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Manogaran sebelum ini didapati melanggar undang-undang pilihanraya dengan memakai baju berlogo parti ketika memasuki salah sebuah pusat mengundi bagi PRK Cameron Highlands, Sabtu lalu.
Rasuah: Penjawat awam golongan berisiko tinggi
Penjawat awam adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berkata, kajian mendapati sebanyak 40 peratus daripada pesalah yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah kalangan penjawat awam bagi tempoh 2011 hingga 2015.
Menurutnya, rasuah adalah isu kritikal yang perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh kerana ia boleh menyebabkan berlaku peningkatan kepada jumlah kos modal dan pembangunan bagi apa jua program atau projek yang dilaksanakan.