1. Tuan Ibrahim yakin perwakilan tidak bantah usul kerjasama Pas-UMNO
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man positif bahawa usul kerjasama Pas- UMNO tidak akan mendapat bantahan perwakilan.
Bagaimanapun katanya, isu yang melibatkan polisi perlu mendapat mandat daripada muktamar terlebih dahulu termasuklah kerjasama Pas-UMNO.
Sejurus itu katanya, barulah ia dibawa ke Majlis Syura Ulamak untuk diputuskan.
Terdahulu, kedua-dua Pas dan UMNO sudah pun menubuhkan jawatankuasa teknikal dan induk bagi membincangkan kerjasama itu.
Namun, di peringkat akar umbi Pas, ia bakal dibahaskan melalui usul di Muktamar Tahunan Pas yang sedang berlangsung.
2. Anwar tidak setuju dengan kenyataan SU politiknya
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menggesa Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan sekiranya video intim mengaitkan dirinya itu benar.
Beliau menggesa pimpinan dan ahli parti supaya menggunakan saluran yang betul dan menyerahkan tugas siasatan isu itu kepada polis.
Katanya beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Saudara Farhash Wafa berkenaan isu video serta kedudukan Datuk Seri Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR.
Semalam, Farhash Wafa yang juga merupakan Pengerusi PKR Perak menggesa Mohamed Azmin meletakkan jawatan sekiranya terbukti bersalah.
3. Orang Asli kurang kesedaran mengenai suntikan vaksin: Waytha Moorthy
Kesedaran mengenai kepentingan suntikan vaksin imunisasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini masih rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.
Beliau berkata antara puncanya ialah kurang ilmu pengetahuan mengenai kepentingan mengambil suntikan serta cara hidup mereka yang kerap berpindah-randah sehingga menyebabkan pegawai kesihatan sukar memberi suntikan imunisasi kepada kanak-kanak kaum minoriti itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.
4. Itu pejabat bukan rumah ibadat bukan Islam
Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong menegaskan majlis sumbangan anjuran persatuan bukan kerajaan (NGO) kepada golongan kurang berkemampuan sempena Aidilfitri pada 26 Mei lalu diadakan di pejabat persatuan bukan rumah ibadat sebagaimana yang tular di media sosial.
Beliau yang menghadiri majlis berkenaan turut dituduh menggunakan wang zakat bagi memberi sumbangan kepada golongan Muslim.
Katanya, gambar yang tular di media sosial itu merupakan gambar aktiviti yang dianjurkan sebuah persatuan kebajikan untuk memberi sumbangan kepada golongan miskin dan memerlukan sempena Hari Raya Aidilfitri.
5. Lelaki ketagih permainan video cuba racun keluarga
Seorang lelaki di Thailand yang ketagih bermain permainan video cuba meracun keluarganya selepas mereka mencabut sambungan wifi untuk menghentikan aktivitinya itu.
Sak Duanjan, 29, pulang dalam keadaan mabuk dan mula bermain permainan video dengan kuat pada telefon bimbitnya ketika ibu bapanya mahu tidur di kediaman mereka di Sisaket ketika kejadian pada Khamis lalu.
Tindakan bapa tirinya yang menutup sambungan wifi untuk mengelakkan gangguan tersebut telah menyebabkan dua beranak itu bergaduh selepas Sak mengamuk secara tiba-tiba.
Keesokan harinya, ibunya, Suban Duanjan, 51, menemukan racun makhluk perosak terapung di dalam perigi. Menurut ibunya, racun tersebut ditemukan ketika dia mahu mengambil air untuk memasak nasi.