Tok Mat jemput Najib ke Sendayan lihat jasanya sebagai PM
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan menjemput bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantunya berkempen di PRK DUN Rantau.
Mohamad berkata jemputan itu khusus bagi Najib melihat sendiri pembangunan di Sendayan yang merupakan hasil jasanya sebelum ini.
Kata Mohamad, pembangunan kawasan itu adalah hasil buah tangan Najib yang menolong kerajaan negeri (BN) dengan memindahkan pengkalan Tentang Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sendayan yang dibeli melalui 1MDB.
Bagaimana pun ditanya pihak media berkenaan isu 1MDB yang digunakan Pakatan Harapan dalam kempen di PRK Rantau, Tok Mat berkata orang Rantau tak tahu apa itu 1MDB, yang mereka kisah tak ada duit nak beli barang kerana harga getah dan kelapa sawit jatuh merudum.
Abdul Hadi dimasukkan ke IJN
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), malam semalam.
Berita itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman di laman sosial Facebook miliknya.
Menurut hantaran itu, Abdul Hadi ke IJN untuk membuat pemeriksaan sebelum dinasihatkan untuk berehat di IJN bagi mendapatkan rawatan susulan.
Pemimpin utama Pas itu pernah dimasukkan ke IJN pada Mei 2017 untuk menjalani pembedahan penggantian injap jantung dan menerima rawatan intensif daripada pakar-pakar di situ selama sebulan.
Rasuah jam tangan: Setiausaha politik Salahuddin direman 4 hari
Setiausaha politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub direman selama empat hari bermula hari ini selepas disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan jenama Omega dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000 tahun lalu.
Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan sebuah kementerian.
Husam dilantik Pengerusi Kada baharu
Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa dilantik sebagai Pengerusi Baru Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bermula 1 Mac 2019 lalu.
Pengumuman tersebut dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam satu majlis di Auditorium Tan Sri Mohammed Yaacob, di Pejabat Kada, hari ini.
Husam menggantikan ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang menjawat jawatan tersebut sewaktu BN mentadbir negara sebelum ini.
Salahuddin dalam satu sidang media memberitahu, pelantikan ini adalah bersesuaian dengan Husam sebagai anak jati Kelantan yang mempunyai pengalaman sebagai Exco kerajaan negeri untuk memandu KADA ke arah yang lebih baik selepas ini.
Pil kuda RM1.48 juta dirampas di Kelantan
Polis merampas pil kuda bernilai RM1.48 juta selepas menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita di sekitar daerah di Kota Bharu dan Pasir Mas pada Ahad lalu.
Sindiket pengedaran dadah terbongkar selepas menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC warna merah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Dangar, Pasir Mas sehingga menemukan beberapa suspek lain dan pil kuda.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan tersebut dibuat Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Katanya, dalam operasi yang bermula pada pukul 3 petang itu, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 46 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan.