TMJ muat naik artikel Perlembagaan Persekutuan, sanggah Mahathir
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik tangkap layar dua artikel mengenai Perlembagaan Persekutuan menerusi Facebook rasminya, HRH Crown Prince of Johor, malam semalam.
Dalam status terbaharu itu, Tunku Ismail turut berkongsi pautan berkaitan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, selain memaparkan tangkap layar berhubung jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri serta kedaulatan raja-raja.
Status terbaru tersebut dipercayai sebagai hantaran balas terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laman blog beliau yang membangkitkan Undang-Undang Tubuh Johor 1895 dan Terengganu 1911 terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1957.
Dalam posting berasingan, Tunku Ismail turut meletakkan pautan yang menghubungkan ke Facebook milik Buzze Azam memaparkan kenyataan individu terbabit yang mendakwa Peguam Negara, Tommy Thomas gagal memberikan nasihat kepada Perdana Menteri.
Orang luar lebih hargai, Upin Ipin terpilih ditayang di China
Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, kerajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya produk tempatan bagi menarik pelancong luar melihat keunikan yang dimiliki negara ini berbanding mengagungkan produk luar.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah yang dilaporkan bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan Doraemon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Kata Burhanuddin, produk tempatan mempunyai kelebihan tersendiri untuk dipromosikan kepada luar dalam TMM antaranya Filem Upin Ipin Keris Siamang Tunggal juga terpilih untuk ditayangkan di China kerana kandungan dan pengajarannya.
Katanya, orang luar lebih pandai menilai berbanding dalam negara sendiri.
Dana SRC: RM64 juta dimasukkan dalam akaun AmBank Najib
Pengurus Cawangan AmBank Raja Chulan mengesahkan sebanyak RM64 juta didepositkan ke dalam akaun milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tiga transaksi antara 2014 dan 2015.
R. Uma Devi yang merupakan saksi ke-21 berkata, kesemua jumlah itu dimasukkan ke akaun Najib antara 8 Julai 2014 hingga 10 Februari 2015.
Katanya, RM37 juta itu adalah wang daripada syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC International Sdn. Bhd. (SRC) manakala RM27 juta tidak dinyatakan sumbernya.
Uma Devi berkata demikian selepas membaca penyataan saksi pada hari kelapan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC bernilai RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi semalam.
Dalam pada itu, bagi rekod pemindahan keluar pula, Uma Devi memaklumkan, wang berjumlah RM20 juta. Daripada jumlah itu RM10 juta dipindah keluar dan dimasukkan ke dalam satu lagi akaun semasa AmPrivate Najib pada 8 Julai 2014.
90 peratus kuota Bumiputera kekal, Matrik terima 40,000 pelajar
Bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) ditambah kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini, kata Menterinya Dr Maszlee Malik.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan melihat keperluan untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang terdapat pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan bagi tujuan tersebut.
Maszlee dalam pada itu berkata mesyuarat Jemaah Menteri semalam juga memutuskan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera dikekalkan, selaras dengan visi asal program ini bagi menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.
Pendatang Yahudi ceroboh Masjid al-Aqsa
Ratusan pendatang Yahudi yang diiringi polis Israel bertindak menceroboh kawasan perkarangan kompleks Masjid al-Aqsa, semalam.
Kehadiran mereka ke kawasan suci itu sempena perayaan Passover yang memasuki hari keempat.
Pihak Berkuasa Wakaf Islam Baitulmaqdis berkata, kira-kira 515 peneroka haram Yahudi menyerbu masuk ke kawasan tersebut menerusi pintu al-Magharibah.
Jurucakapnya, Firas Al-Dibs berkata, pendatang terbabit turut melakukan ritual keagamaan sebaik melangkah masuk ke kompleks berkenaan.
Minggu lalu, rejim Zionis melarang azan dilaungkan dari dalam Masjid al-Aqsa dan menyerang serta mengusir penduduk Palestin yang berkumpul di luar Bab al-Asbat, salah satu pintu pagar utama masjid berkenaan di Kota Lama untuk menunaikan solat Asar.