Tindakan tetap diambil jika Zakir didapati bersalah: Muhyiddin
Biarpun kerajaan telah memutuskan untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir Naik ke negara asalnya India, namun jika siasatan dapati beliau bersalah tindakan akan tetap diambil ke atasnya.
Demikian menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua pihak tertakluk di bawah undang-undang termasuk individu yang bertaraf Pemastautin Tetap (PR) Malaysia.
Muhyiddin berkata pihaknya bukan tidak menghormati Zakir sebagai seorang tokoh namun jika ucapannya boleh menggugat kestabilan negara maka tindakan perlu diambil.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau masih belum menerima laporan berhubung siasatan berkenaan dari pihak polis.
Tidak boleh layan Lynas seperti paria
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) tidak boleh dilayan seperti kasta rendah atau ‘paria’ dan diarahkan memberhentikan operasi di negara ini.
Menurutnya tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan tiada negara lain berminat untuk melakukan pelaburan di negara ini.
Jelas beliau, keadaan itu sekali gus merugikan negara kerana nilai pelaburan Lynas di negara ini mencecah RM1.7 bilion dengan menawarkan 700 peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta berpendapatan lumayan.
Laporan sebelum ini menyebut bahawa kerajaan membaharui lesen operasi Lynas yang akan tamat tempoh bulan depan, kepada enam bulan, dengan syarat mencari tapak pelupusan kekal untuk residu penulenan air (WLP) yang dihasilkan.
Susulan itu, pada Ahad lalu, satu perhimpunan diadakan untuk menentang pelanjutan lesen operasi loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas).
KPM tunggu laporan kes murid gantung diri kerana banyak kerja sekolah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih menunggu laporan penuh daripada polis berhubung kes pelajar berusia 13 tahun yang menggantung diri akibat tekanan kerana kerja sekolah terlalu banyak.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian juga akan menjalankan siasatan sendiri berhubung kes berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan, termasuk mengubah modul pembelajaran sekiranya perlu.
Pada malam Sabtu lepas, pelajar berkenaan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai menggantung diri di dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, Georgetown, Pulau Pinang.
Hasil siasatan mendapati remaja terbabit dikatakan kurang berminat untuk belajar, selain prestasi pelajarannya yang agak lemah, termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak.
Premis gantung bendera terbalik dikompaun RM500
Pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap di Kuantan, yang didapati memasang Jalur Gemilang terbalik, baru-baru ini, dikompaun RM500.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal, berkata selain itu, surat amaran turut diberikan kepada pihak pengurusan premis terbabit untuk memastikan insiden berkenaan tidak berulang.
Katanya, MPK juga mengesahkan menerima surat tunjuk sebab dari pusat terbabit seperti yang diarahkan.
Sebelum ini, tersebar di media sosial mengenai pemasangan dua bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik sebelum ia disedari pemilik premis yang bertindak menurunkannya.
Hasil bidaan JPJeBid cecah lebih RM16 juta
Hasil kutipan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip lebih RM16 juta sejak ia diperkenalkan April lepas.
Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, nilai kutipan berkenaan melibatkan 14 siri bidaan melalui JPJeBid yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Johor.
“Untuk kali ini, kita lancarkan JPJeBid bagi negeri Kelantan dan Pahang dan kami menjangkakan ia dapat dilaksanakan di semua negeri sehingga penghujung November nanti,” katanya pada sidang akhbar pelancaran JPJeBid di JPJ Kelantan hari ini.
Pada majlis berkenaan, JPJ buat pertama kali melancarkan bidaan serentak melibatkan dua negeri iaitu nombor pendaftaran kenderaan Siri DDP bagi negeri Kelantan dan CEE bagi negeri Pahang melalui sistem JPJeBid.
Mohd. Rusdi berkata, sistem yang diperkenalkan ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat tanpa campur tangan manusia.