Tiada tanah dekat stesen ECRL diberi percuma pada kontraktor China
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menolak dakwaan tanah seluas 4,500 ekar di sepanjang Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan diberikan secara percuma kepada China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Beliau menjawab dakwaan blogger, Raja Petra Kamarudin, bagi “potongan” RM21.5 bilion, CCCC diberikan tanah seluas kira-kira 4,500 ekar di 7 taman perindustrian berlainan berhampiran stesen perhentian ECRL.
ECRL disambung semula dengan perjanjian tambahan dimeterai pada harga RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion sebelum, penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.
Bagaimanapun kata Guan Eng, butiran kontrak rasmi akan didedahkan.
Sah tulang manusia, tapi belum boleh kaitkan dengan Acap
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), mengesahkan beberapa serpihan tulang yang ditemukan di sekitar Gua Kandu pada Sabtu lalu adalah tulang manusia.
Bagaimanapun katanya, polis masih belum dapat mengaitkan penemuan tulang itu dengan seorang peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan keadaan tulang itu, pihaknya menganggarkan ia merupakan tulang yang agak lama.
Tambah Hasron Nazri, serpihan tulang tersebut telah dibawa ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor hari ini untuk mengenal pasti pemiliknya.
Aziz Bari nafi terlibat plot jatuhkan MB Perak
Exco kerajaan negeri, Dr. Abdul Aziz Bari menegaskan partinya, DAP tidak menjalankan gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, ini kerana jika Menteri Besar dijatuhkan, maka secara tidak langsung kerajaan negeri juga akan tumbang.
Kata beliau, adalah tidak masuk akal dan mengarut untuk menjatuhkan
Menteri Besar menerusi undi tidak percaya walaupun ia boleh dilakukan.
Abdul Aziz mendedahkan beliau ada menghantar permohonan untuk bertemu dengan Ahmad Faizal tahun lalu ketika tersebar dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar selepas sidang DUN sesi sebelum ini.
Hanya satu sahaja restoran mamak di Negeri Sembilan ada sijil halal
Daripada 150 kedai mamak yang beroperasi di Negeri Sembilan, hanya satu sahaja yang mempunyai status sijil halal Malaysia.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli semasa merasmikan Kempen Cakna Halal: Moh Poie Restoran Halal, yang diadakan di Restoran Nasi Kandar Pelita Seremban Gateway hari ini.
Dalam pada itu, zaidi juga menyarankan agar semua restoran makanan termasuk restoran Melayu yang beroperasi di negeri itu mendapatkan sijil halal bagi mengelakkan keraguan pengunjung.
Katanya, bagi restoran makanan Melayu, tiada satu premis pun yang mempunyai status halal, jadi pihaknya sangat mengharapkan agar semua premis makanan membuat permohonan sijil status halal Malaysia.
Angka kematian letupan bom di Sri Lanka meningkat 310
Jumlah kematian akibat beberapa siri letupan bom di Sri Lanka pada Ahad lalu kini meningkat kepada 310 orang ekoran kematian mangsa yang cedera.
Jurucakap polis Ruwan Gunasekera berkata, sejumlah 500 orang cedera susulan lapan letupan bom yang menyasarkan beberapa gereja dan hotel terkemuka di Sri Lanka, kelmarin.
Beliau menambah, 40 orang kini telah ditahan untuk siasatan berhubung serangan yang menurut kerajaan Sri Lanka dilakukan oleh kumpulan radikal Thowheeth Jama’ath Nasional (NTJ).
Menteri kabinet dan jurucakap kerajaan Rajitha Senaratne berkata, kumpulan penyiasat kini mencari klu sama ada NTJ menerima bantuan antarabangsa dalam melakukan serangan keganasan itu.