Terengganu tak ikut Kelantan henti operasi kedai makan
Kerajaan Pas Terengganu tidak bercadang mencontohi arahan kerajaan Pas Kelantan supaya kedai makan dan restoran di negeri itu menghentikan operasi ketika waktu solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedua-dua negeri mempunyai cara tersendiri dan pihaknya melihat tiada keperluan untuk Terengganu melaksanakan perkara seperti itu setakat ini.
Semalam tular dilaman sosial arahan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya semua premis makanan ditutup atau menghentikan sementara operasi selama sejam 30 minit bermula dari pukul 8.30 malam sepanjang Ramadan.
Surat yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Adnan Hussin menjelaskan bahawa arahan tersebut adalah bagi menghormati Ramadan dan mengalakkan umat Islam menunaikan solat Tarawih.
Polis reman anggota unit amal Pas sebar berita palsu
Polis menahan seorang lelaki yang juga anggota Jabatan Amal PAS semalam di Kota Bharu, dipercayai bagi membantu siasatan kes dakwaan menyebarkan berita palsu di media sosial.
Penahanan lelaki berusia 55 tahun itu dikatakan susulan satu hantaran di Facebooknya yang didakwa memfitnah menteri.
Berdasarkan maklumat awal, suspek yang juga seorang peniaga kedai makan dipercayai akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, penangkapan suspek menjadi tular di media sosial yang mendakwa polis menahan seorang pegawai yang bekerja di pejabat Adun Panchor, Mohd Amar Nik Abdullah.
Bagaimanapun, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan dilaporkan menafikan perkara itu.
Tiada tanah, slot rancangan diberi kepada Zakir Naik
Putrajaya menafikan laporan dari India mendakwa kerajaan Malaysia memberikan sebuah plot tanah pada penceramah kontroversi, Zakir Naik untuk memulakan semula saluran satelit yang diharamkan, Peace TV.
Pejabat Perdana Menteri juga menolak dakwaan mengatakan Zakir Naik, yang baru-baru ini secara rasmi dituduh memperoleh aset jenayah bernilai jutaan ringgit, akan diberi slot rancangan di saluran siaran rasmi kerajaan.
Minggu lepas, Direktorat Penguatkuasaan India (ED) mendakwa Zakir Naik di mahkamah tanpa kehadiran atas tuduhan pengubahan wang.
Agensi itu berkata Zakir Naik pernah membuat “ucapan-ucapan dan kuliah-kuliah yang mengapi-apikan” yang menghasut sejumlah belia beragama Islam di India melakukan tindakan pengganas.
Polis trafik tak setuju peraturan baru cermin gelap
Pihak polis tidak bersetuju dengan peraturan baru Kementerian Pengangkutan mengenai cermin gelap kenderaan persendirian, berkata ia akan menyukarkan tugas pihak penguatkuasa, maklum Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias.
Harian Metro semalam melaporkan pihak polis tidak pernah dirundingkan mengenai perkara ini.
Jelasnya kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar akan lebih sukar dikesan.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan para pemilik kenderaan persendirian boleh menggunakan cermin gelap sepenuhnya di bahagian belakang dan cermin sisi kiri dan kanan penumpang bermula hari ini.
Bagaimanapun, katanya kadar peratusan ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin depan dan cermin sisi kiri dan kanan pemandu masih kekal, masing-masing 70 peratus dan 50 peratus.
Rakyat Malaysia raih tempat ketiga pertandingan Mrs World 2019
Buat pertama kalinya sejak 35 tahun, seorang rakyat Malaysia berjaya muncul sebagai seorang daripada tiga pemenang utama dalam pertandingan ratu cantik Mrs World.
Kokilam Kathirvailu, 34, meraih tempat ketiga pada pertandingan Mrs World 2019 yang diadakan di West Gate Resort di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Sabtu, menurut Pengarah Nasional Mrs Malaysia World Datin Harveen Kaur yang juga juara Mrs Malaysia World 2017.
Dalam satu kenyataan beliau, berkata pertandingan ratu cantik Mrs World 2019 itu menampilkan peserta dari 38 negara.
Kokilam yang berasal dari Kuala Lumpur dan seorang ibu kepada tiga anak itu dimahkotakan sebagai Mrs Malaysia World 2018-2019 dalam pertandingan yang diadakan September lepas di ibu negara.