1-Teliti campur tangan istana Johor : Mahathir
Kerajaan Persekutuan akan mengkaji sama ada wujud campur tangan Istana Johor dalam isu pertikaian mengenai umur belia di negeri itu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penelitian itu akan dibuat sekiranya benar wujud campur tangan Istana Johor hingga menyebabkan kerajaan negeri beberapa kali menukar pendirian mereka.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang berharap supaya Istana Johor tidak masuk campur urusan kerajaan Persekutuan berhubung had umur belia.
Semalam, Muhyiddin berkata Istana Johor boleh memberi pandangan berhubung apa jua perkara yang dirasakan perlu, namun kerajaan negeri wajar diberi kebebasan untuk membuat keputusan akhir.
2-Nelayan demostrasi depan Parlimen
Kira-kira 200 nelayan dari Pulau Pinang dan Perak berarak ke parlimen pagi ini bagi membantah cadangan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).
Sambil berjalan, kumpulan itu melaungkan “Tolak tambak Pulau Pinang” dalam usaha mereka mendapatkan perhatian menteri dan anggota parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kumpulan itu menentang projek PSR kerana ia didakwa menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan di kedua-dua negeri terbabit, selain bakal menyebabkan kerosakan alam sekitar.
Sambil berarak sejauh kira-kira 1km, kumpulan terbabit turut membawa sepanduk antaranya bertulis “Towkay makan lobster, rakyat makan ikan toksik” dan “Woi manusia tolak PSR”.
3. Pemimpin DAP Perak tercalit dakwaan rogol tidak perlu berehat
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih menunggu siasatan polis berhubung dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia oleh salah seorang pemimpin parti itu di Perak.
Menurut Guan Eng, beliau telah berbincang dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan sependapat supaya isu tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
Walaupun disoal berkali-kali, beliau masih enggan mengulas lanjut sama ada individu tersebut perlu direhatkan atau tidak daripada tugas selaku Exco Kerajaan Perak.
Pada Rabu, Exco tersebut dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan sehari sebelum itu.
4. Tipu pakej umrah, dua wanita direman
Dua wanita dipercayai dalang utama kes penipuan pakej umrah berjumlah RM41,800 membabitkan 19 peserta dari Temerloh direman selama dua hari bermula hari ini selepas dihadapkan ke Mahkamah Temerloh hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah,Hayatul Hafifie Hisham.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
5. Lelaki acu parang pada ibu kandung
Berang akibat tidak mendapat wang, seorang lelaki tergamak mengugut ibu kandungnya dengan menggunakan parang dalam kejadian dirumah mereka di Taman Kuala Bekah, Penaga Kepala Batas, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 5.30 petang Rabu, lelaki berusia 24 tahun itu mengamuk selepas ibunya berusia 50 tahun enggan memberikan wang yang dipinta.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisoner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek telah mengacukan parang dan mengugut mahu mencederakan ibunya menyebabkan mangsa ketakutan dan terus melarikan diri sebelum membuat laporan polis.