Tawar khidmat seks RM230 sejam
Satu sindiket pelacuran yang baharu sahaja lima hari beroperasi di sebuah hotel bajet di Petaling Jaya digempur polis menerusi Ops Noda.
Dalam serbuan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu, seramai 11 wanita warga asing yang disyaki menawarkan khidmat seks ditahan.
Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin, berkata dalam serbuan pada jam 9.30 malam itu, polis turut menahan empat pelanggan terdiri daripada lelaki tempatan.
Tambahnya, siasatan mendapati kegiatan tidak bermoral ini diiklankan menerusi media sosial serta laman web dan pelanggan yang berminat perlu berhubung dengan ejen itu menerusi aplikasi Whatsapp.
2.. Tiada suntikan vaksin, tidak boleh sekolah!
Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, sudah sampai masanya suntikan vaksin imunisasi ini diwajibkan sebelum kanak-kanak menyertai alam persekolahan kerana ia telah melibatkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.
Saranan itu adalah antara gesaan mereka berikutan rancangan Kementerian Kesihatan untuk membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.
Menurutnya, kementerian mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam, bahawa pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.
3. Pihak berkuasa, operator feri dan bot perlu buat audit keselamatan: Lee
Pihak berkuasa serta operator bot dan feri perlu melakukan audit keselamatan terhadap kenderaan air masing-masing bagi mengelak kejadian seperti mana berlaku ke atas feri penumpang, Dragon Star 1 yang terbakar di perairan Langkawi, Kedah petang semalam berulang.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Jabatan Laut Malaysia pada masa yang sama perlu mengarahkan semua operator membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian dalam kenderaan air masing-masing agar sentiasa dalam keadaan baik.
“Insiden kebakaran sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis pukul 2.50 petang Isnin, seharusnya membuka mata semua pihak mengenai kepentingan aspek keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.
4. El Hadary pemain tertua beraksi di Piala Dunia
Essam El Hadary mencatat sejarah selaku pemain tertua yang beraksi di Piala Dunia selepas penjaga gol Mesir berusia 45 tahun itu.
Mesir memuat naik kesebelasan utamanya termasuklah menyenaraikan El Hadary yang akan memadamkan rekod lama penjaga gol tertua dari Colombia, Faryd Mondragon, yang berumur 43 tahun dan tiga hari apabila dia bermain menentang Jepun di Brazil pada 2014.
Bintang Liverpool, Mohamed Salah juga disenaraikan dalam kesebelasan utama apabila Mesir memburu kemenangan pertama mereka selepas tiga perlawanan.
Walaubagaimanapun, Arab Saudi meraih kemenangan pertama di Piala Dunia 2018 selepas menundukkan Mesir 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, malam tadi.
5. Huawei lancar telefon pintar 5G boleh dilipat
Huawei Technologies Co mengumumkan telefon bimbit terbarunya, Mate X, iaitu sebuah peranti yang skrinnya boleh dilipat, menjadikannya pesaing pertama Galaxy Fold keluaran Samsung.
Dilengkapi rangkaian teknologi generasi kelima (5G), ia dijual pada harga AS$2,600 (RM10,580) dan bakal diperkenalkan di pasaran dalam masa terdekat.
Mate X juga adalah telefon pintar boleh dilipat kedua yang diumumkan dalam tempoh seminggu, selepas Samsung memperkenalkan Galaxy Fold pada Rabu minggu lalu.
Sekiranya dilipat, Mate X mempunyai skrin bersaiz 6.6 inci, iaitu besar sedikit daripada skrin Iphone XS Max keluaran Apple, dan apabila dibuka, peranti yang menggunakan sistem operasi Android itu akan menjadi sebuah tablet bersaiz lapan inci.