Sultan Selangor dukacita perpecahan orang Melayu amat merisaukan
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan gejala dan masalah perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang kini telah sampai ke tahap amat merisaukan.
Baginda bertitah perpecahan itu dilihat begitu teruk sekali terutamanya apabila wujud banyak kumpulan kononnya berjuang atas dasar kepentingan orang Melayu namun bertambah buruk apabila golongan berkenaan sering mengecam antara satu sama lain umpama menconteng arang ke muka sendiri.
Titah baginda lagi, gejala perpecahan lebih diburukkan apabila terdapat segelintir pemimpin Melayu sendiri yang melemparkan cercaan dan sindiran terhadap bangsanya secara terbuka tanpa segan silu.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan hilang segala-galanya baik dari segi hak beragama, ekonomi, politik dan pendidikan sekiranya terus berpecah serta hidup dalam keadaan porak-peranda kerana akan ada pihak lain yang mendapat keuntungannya.
UMNO, Pas dakwa Tommy campur tangan dalam inkues kematian Adib
UMNO dan Pas mendakwa arahan supaya peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili kerajaan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah satu campur tangan secara terbuka oleh Peguam Negara, Tommy Thomas.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah mengangap tindakan itu akan menyebabkan rakyat merasakan seolah-olah pihak Peguam Negara dari awal lagi tidak bersetuju bahawa Muhammad Adib meninggal dunia akibat dipukul semasa bertugas berdekatan kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada hujung November 2018.
Tommy kelmarin menjelaskan, Syazlin menarik diri berada dalam kedudukan konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana beliau juga turut mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues.
Sementara itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang akhbar yang sama berkata, partinya dan UMNO tidak mempolitikkan kes tersebut, sebaliknya hanya mahu membela seorang penjawat awam yang meninggal dunia ketika bertugas.
Daftar penumpang guna MyKad: Persatuan pemandu e-panggilan
Persatuan Pemandu E-Panggilan Malaysia (Mehda) menggesa semua operator e-panggilan mengambil langkah tegas bagi memastikan semua penumpang mendaftar dengan menggunakan kad pengenalan mereka bagi melindungi keselamatan pemandu berikutan kejadian rompakan-bunuh seorang pemandu Grab di Sabah baru-baru ini.
Presiden Mehda, Daryl Chong berkata, ini perkara paling penting yang perlu ditangani oleh industri tersebut dan perlu bagi menghalang pelaku jenayah sedemikian daripada terlepas.
Katanya, sesiapa juga boleh mendaftar sebagai penumpang Grab hanya dengan mendapatkan satu kad SIM dan selepas itu menggunakan apa-apa juga nama untuk menjadi penumpang.
Selain itu katanya, tidak juga adil apabila penumpang boleh mengetahui bahawa seseorang pemandu itu adalah sah, tetapi pemandu tidak pula tahu sama ada penumpangnya sah atau merupakan bakal perompak.
Baru-baru ini terbaharu, Polis Sabah memberitahu mereka berjaya menangkap 2 lelaki berhubung kejadian rompak-bunuh pemandu grab, Mohd Hanafiee Jaffar, 27, yang mayatnya ditemui dibuang dalam semak di Sabandar, Tuaran.
Tambang bas naik 10% sempena Aidilfitri
Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) berkata, tambang bas ekspres akan dinaikkan 10% mulai 31 Mei hingga 9 Jun ini bagi perjalanan di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri.
Presidennya, Mohamad Ashfar Ali berkata, kelulusan permohonan PMBOA itu dimaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) pada 12 April lalu bagi menampung perbelanjaan tambahan syarikat bas ekspres untuk membayar gaji pekerja yang bekerja sepanjang cuti Aidilfitri nanti.
Beliau berkata, pekerja itu terdiri daripada pemandu bas, konduktor dan pekerja kaunter.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan rakyat berwaspada dengan “ulat tiket” yang menjual tiket 2 atau 3 kali ganda lebih mahal atau terbeli tiket palsu.
Lelaki bakar diri di hadapan Rumah Putih
Seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas membakar diri di hadapan Rumah Putih semalam.
Jurucakap ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) berkata, lelaki berkenaan dirawat kerana kecederaan serius, tetapi keadaannya dilaporkan stabil.
Insiden berkenaan berjaya dirakam orang ramai dan tular di media sosial.
Ia berlaku di Ellipse berhampiran Washington Mall, kawasan yang popular dalam kalangan pelancong.
Difahamkan, ia adalah insiden kedua sejak 12 April apabila seorang lelaki dalam skuter elektrik jenis kerusi roda menyalakan jaketnya di luar pagar Rumah Putih.