SPRM siasat skandal projek SSM RM500 juta
Selepas enam jam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa keluar enam buah kotak dari Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berisi dokumen dipercayai bagi menyiasat dakwaan skandal projek melibatkan SSM yang dianggarkan bernilai RM500 juta.
Sumber SPRM berkata, rampasan dokumen itu bagi menyiasat skandal bernilai RM500 juta dan ketua pegawai eksekutif syarikat terbabit bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, SPRM menjalankan siasatan terhadap anak kepada seorang pegawai kanan di SSM kerana dipercayai terlibat dalam dakwaan skandal projek melibatkan SSM yang dianggarkan bernilai RM500 juta.
Penglibatan suspek berusia 20-an itu terbongkar selepas serbuan dilakukan SPRM di tiga syarikat dan di ibu pejabat SSM, Menara SSM, Isnin lalu.
PH tidak beri wang seperti BN untuk raih sokongan: Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan pendekatan politik wang ketika berkempen sebagaimana Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan sokongan.
Menurutnya, pengundi Parlimen Cameron Highlands harus percaya dan yakin bahawa kerajaan baru akan menyalurkan peruntukan sebaik sahaja calonnya diberi mandat dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.
Anwar turut menyeru pengundi Orang Asli Pos Betau agar memberi kepercayaan kepada Manogaran untuk pihaknya melakukan perubahan.
Orang Asli Cameron Highlands peluk erat Najib
Perkongsian sekeping gambar, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memaparkan adegan seorang lelaki masyarakat Orang Asli memeluk erat beliau menarik perhatian ramai.
Perkongsian menerusi Facebook rasmi Najib Razak itu,yang turut menyertakan kenyataan ‘Ini dah kenapa’ turut ‘menyelitkan’ emoji ketawa, sebagai tanda gurauan.
Salah seorang pengguna media sosial, Apandi Yusof, berkata, mungkin lelaki itu rindu kepada bekas perdana menteri keenam.
Najib turun ke Cameron Highlands untuk beramah mesra bersama penduduk di sana dan beliau turut menyantuni masyarakat Orang Asli Kampung Raja Cameron Highlands.
Presma tak terima aduan harga makanan, minuman naik
Persatuan Pengusaha Restoren Muslim Malaysia (Presma) mendakwa tidak menerima aduan kenaikan harga makanan dan minuman setakat ini.
Presidennya, Ayoob Khan berkata, jika ada aduan diterima, sudah pasti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengambil tindakan.
Beliau menasihatkan pengguna terus melakukan pemantauan harga sendiri dan melaporkan jika berlaku kenaiakn harga.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aduan mengenai kenaikan harga makanan dan minuman mendominasi purata 4,000 aduan yang diterima kementerian setiap bulan.
Ustazah hilang ditemui selamat, hanya berbekal al-Quran
Seorang ustazah yang dilaporkan hilang di Balik Pulau, Pulau Pinang, sejak Isnin lalu, dikatakan hanya makan roti dan minum air mineral sebelum muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Perak, semalam.
Sepanjang hampir empat hari itu, Nurfarhana Ibrahim, 27 tahun, dipercayai tidur di beberapa surau dan banyak menghabiskan masa berjalan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata, guru agama itu muncul di IPD Kuala Kangsar kira-kira jam 3.15 petang, semalam sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.