Video intim: Haziq, lima individu direman enam hari
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dalam isu video intim dengan seorang lelaki yang didakwa mirip seorang Menteri Kabinet ditahan polis, semalam.
Haziq ditahan bersama lima lagi lelaki berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun di sekitar Lembah Klang dalam tangkapan berasingan bermula jam 6 petang sehingga 10 malam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua individu itu ditahan bagi membantu siasatan dipercayai terlibat dalam konspirasi merakam video intim berkenaan.
Pada 12 Jun lalu, bekas pegawai kanan kepada seorang Timbalan Menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia ialah individu dalam klip video intim bersama seorang lelaki mirip seorang menteri Kabinet.
Haziq berkata, perlakuan itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan.
UMNO tak akan pecat Nazri, Khairy: Annuar
UMNO tidak akan mengenakan sebarang tindakan disiplin kepada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilihat ‘keras’ mengkritik parti kerana melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya menganggap kritikan Nazri dan Khairy Jamaluddin hanya sekadar pandangan peribadi malah, katanya, tidak ada salahnya ahli UMNO untuk mengemukakan pandangan.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menjelaskan jawatan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN tidak ada dalam Perlembagaan UMNO ia lebih kepada hal pentadbiran untuk nasihatkan parti.
Malah beliau berkata, tidak wajar Nazri mendakwa Najib berhasrat menjadi Pengerusi BN kerana beliau tidak menjadi ketua parti-parti komponen.
Jakim pantau amalan zikir berdiri di Jerantut
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau dakwaan ritual ‘zikir berdiri’ yang dikatakan berlaku di sebuah perkampungan di Jerantut, minggu lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata perkara itu juga dalam siasatan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) yang difahamkan telah memanggil individu yang terlibat.
Beliau berkata pihak terlibat juga sedang mengesan individu yang dikenali sebagai Tok Ki @ Tok Ayah dari Terengganu yang dikatakan membawa masuk ajaran itu ke kampung tersebut.
Pada Sabtu lepas, tiga rakaman video berdurasi antara 15 saat hingga seminit 12 saat tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan jemaah lelaki dan wanita melakukan beberapa pergerakan badan sambil mengalunkan bacaan yang tidak jelas sebutannya.
Usir media bukan Melayu kesilapan teknikal: Umno
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kejadian wartawan bukan Melayu diusir daripada membuat liputan mesyuarat Umno bahagian Lembah Pantai, Kuala Lumpur semalam sebagai “kesilapan teknikal”.
Kata beliau, tindakan pengerusi yang menghalau wartawan itu bukan lah ada niat tidak baik.
Semalam, wartawan dan jurugambar bukan Melayu dikatakan diminta meninggalkan mesyuarat itu oleh pengacara sejurus sebelum acara bermula pada kira-kira jam 2 petang di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) di Petaling Jaya.
Difahamkan arahan tersebut dikeluarkan dengan alasan bahawa acara tersebut merupakan persidangan orang Melayu dan hanya orang Melayu sahaja dibenarkan untuk membuat liputan perasmian mesyuarat oleh Ismail.
Tiada kenaikan tarif elektrik hingga Disember
Tiada kenaikan tarif elektrik bagi semua kategori pengguna elektrik domestik ataupun komersial dan industri untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.
Beliau berkata, berdasarkan mekanisme ‘Imbalance Cost Pass Through’ (ICPT), kos bahan api dan peningkatan kos penjanaan lain yang perlu dilepaskan kepada pengguna bagi tempoh sama berjumlah RM1.592 bilion melalui surcaj kepada pengguna, iaitu peningkatan sebanyak 0.39 sen/kwj.
Bagaimanapun, katanya untuk mengurangkan beban rakyat serta pihak komersial dan industri, kerajaan mengambil pelbagai langkah dengan mengurangkan kos yang perlu dilepaskan kepada pengguna.