1. Hamid Bador nafi polis cuba tutup kes video intim
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan siasatan pihaknya terhadap kes video seks yang dikaitkan dengan seorang lelaki mirip menteri Kabinet adalah telus.
Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya polis sedang berusaha menutup kes berkenaan.
Abdul Hamid berkata, siasatan video berkenaan masih berjalan dan memandangkan kes tersebut agak rumit, beliau tidak memberi apa-apa tekanan kepada pasukan penyiasat.
Tambah beliau pihaknya juga tidak mendapat sebarang tekanan daripada sesiapa termasuk dari Putrajaya.
2. Pas, UMNO temui titik persamaan: Muhammad Khalil
Hubungan taawun iaitu kerjasama antara UMNO dan Pas telah menemui titik persamaan antaranya bersetuju menolak Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 .
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jalinan hubungan yang masih di peringkat awal itu akan dilaksanakan sebaik mungkin dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa.
Beliau berkata mereka masih dalam fasa permulaan dan perkara yang ingin difokuskan adalah titik persamaan antara Pas dan UMNO yang mengandungi tiga elemen penting iaitu perpaduan demi Islam dan menolak Pakatan Harapan.
Manakala, dalam dalam konteks pilihanraya pula, mereka bersetuju untuk tidak berlaku pertembungan tiga penjuru.
3. Pemandu e-hailing tetap perlu jalani ujian PSV
Kementerian Pengangkutan menegaskan keputusan melaksanakan peraturan ke atas pemandu dan kenderaan e-hailing bukan untuk menyusahkan mereka, tetapi menyelaraskan industri itu supaya menjadi perniagaan yang diiktiraf.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan mereka tetap perlu melalui proses itu sekiranya mahu terus menjadi pemandu e-hailing, malah pemandu orang kurang upaya (OKU) yang menempuhi pelbagai kesukaran pun sanggup memenuhi pelbagai syarat yang ditetapkan.
Tambah Anthony, dalam sesebuah negara terdapat kerangka undang-undang dan keputusan yang dibuat berhubung isu ini adalah untuk menyelaras dan membenarkannya di sisi undang-undang.
Sejumlah 256 calon pemandu e-hailing OKU dikenal pasti layak menduduki ujian PSV dan mereka akan menerima keputusan dalam tempoh lima hari akan datang.
4. Prototaip kereta terbang dilancarkan seawal Oktober 2019
Prototaip kereta terbang pertama Malaysia dijangka akan dilancarkan kepada umum seawal Oktober tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata, kereta terbang berkenaan akan dipacu oleh teknologi tempatan selain tidak menggunakan peruntukan kerajaan.
Datuk Seri Redzuan berkata, ‘air mobility’ prototaip kereta terbang itu tidak melibatkan satu sen pun duit rakyat.
Katanya, ia adalah inisiatif daripada beberapa syarikat persendirian dan pihaknya perlu sentiasa menjalinkan hubungan dengan syarikat persendirian supaya industri ini dirangsang selari dengan pembangunan industri antarabangsa.
5. Tapak sulaiman gergasi
China bakal membuka lapangan terbang gergasi bernilai berbilion dolar menyerupai tapak sulaiman sempena meraikan ulang tahun ke-70 penubuhan negara itu.
Kerja pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing di Beijing itu secara rasmi berakhir kelmarin dan ia sedia untuk dibuka secara rasmi pada 30 September depan.
Lapangan terbang tersebut terletak 46 kilometer di selatan Dataran Tiananmen dan ia akan beroperasi pada kapasiti penuh pada tahun 2025.
Ia dilengkapi empat landasan dan berpotensi menerima sehingga 72 juta penumpang pada setiap tahun.