1. Sidang Dewan Rakyat umpama ceramah politik: Speaker
Meskipun sudah setahun kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan, Dewan Rakyat masih tidak berubah apabila masih ada wakil rakyat yang menggunakan pendekatan ceramah politik ketika persidangan.
Perkara itu tidak sepatutnya berlaku, kata Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof
Lantaran itu, beliau terpaksa memberi teguran semasa persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung dengan penuh adab.
“Kelebihan Parlimen sepatutnya tidak melangkau sempadan sepatutnya, digunakan untuk menunjukkan kebencian, pembahagian dan ekstremis khususnya.
“Sedangkan, sistem Parlimen menuntut agar hormat- menghormati dipatuhi.
Cara berdebat wakil rakyat berhubung isu tertentu dalam Dewan ujar Ariff mencerminkan perkembangan politik dalam negara yang sepatutnya semakin matang.
Beliau berkata, meskipun hak bersuara diperjuangkan namun pada suatu platform khususnya Dewan Rakyat, ia perlu dilakukan dengan beradab mengikut undang-undang.
2. Tuduhan bekas MB Selangor tidak berasas
Kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kononnya kerajaan negeri membayar 10 kali ganda daripada nilai sepatutnya bagi mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) adalah tidak benar.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, berkata, pengambil alihan SPLASH dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad dengan jumlah RM1.9 bilion dan Air Selangor sebanyak RM650 juta melalui bayaran ansuran tahunan selama sembilan tahun.
“Langkah penstrukturan semula industri air berjaya memberi manfaat kepada rakyat Selangor. Hasilnya ketika gangguan bekalan air baru-baru ini, Air Selangor berjaya menyelesaikan isu itu lebih awal daripada jangkaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Borhan berkata, tindakan Abdul Khalid menuduh kerajaan negeri sebagai tidak cermat, tidak berhemah dan tidak bertanggungjawab dalam mengurus kewangan negeri juga sebagai tidak berasas.
Katanya, kerajaan Selangor membelanjakan RM628 juta bagi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) pada tahun lalu, dua kali ganda lebih besar berbanding RM278 juta pada tahun terakhir ketika Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
3. Najib dapat elaun khas RM1 juta: Saksi
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai anggota pentadbiran kerajaan pada Mei 2018 telah menerima bayaran khas berjumlah RM1,017,014.39 ringgit.
Perkara itu dinyatakan saksi ke-27 perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib, Zarina Yusof, 49, yang merupakan Timbalan Ketua Akauntan Pengurusan di Bahagian Akauntan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan kemudian bertanyakan tujuan bayaran khas itu dibuat.
Namun, Zarina menyatakan beliau tidak pasti kerana bayaran dibuat oleh Bahagian Kewangan.
Bagaimanapun, katanya, bayaran itu dibuat berdasarkan akta sedia ada iaitu perdana menteri dan bekas perdana menteri layak memperoleh bayaran khas berkenaan.
Saksi itu juga memberitahu, Najib memperoleh pendapatan RM22,000 sebulan, sebagai perdana menteri dan diterima sehingga April 2018.
Bagaimanapun, hanya pada Mei 2018, Zarina menyatakan bahawa Najib menerima secara pro-rated iaitu RM6,627.09 selama sembilan hari dia memegang jawatan.
Sehingga hari ini, perbicaraan kes SRC International dihadapi Najib sudah memasuki hari ke-12.
4. Mayat bayi berulat ditemui dalam plastik sampah
Mayat seorang bayi yang cukup sifat ditemui dalam keadaan sudah berulat, berhampiran kawasan semak di tepi jalan Kampung Dato Syed Nahar, Kuah, Langkawi pagi tadi.
Mayat bayi di dalam plastik sampah berwarna hitam itu ditemui penduduk kampung di satu kawasan pada jarak lima meter dari jalan bertar kira-kira pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan tentang penemuan satu objek menyerupai mayat bayi di dalam plastik sampah.
“Mengikut keterangan yang diambil, wanita itu memaklumkan telah menyedari bungkusan plastik hitam tersebut di tepi jalan sejak tiga atau empat hari lepas.
“Dia bagaimanapun tidak menghiraukannya kerana menyangkakan ia hanya mengandungi sampah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Wanita itu terkejut apabila mendapati ia mengandungi satu objek berupa bayi dalam keadaan dipenuhi ulat sebelum memaklumkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,”.
“Tiada dokumen lain ditemui di lokasi kejadian dan mayat bayi akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,”.
5. UM universiti ke-38 terbaik Asia
Kedudukan Universiti Malaya (UM) dalam Asia University Rankings yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) melonjak ke tangga 38 tahun ini, berbanding ke-40 tahun lalu.
Universiti awam tertua di Malaysia itu berkongsi kedudukan dengan China’s Sun Yat-sen University, Guangdong, China.
Pengarah Editorial, Global Rankings THE, Phil Baty, berkata peningkatan Universiti Malaya berikutan, penambahbaikan dalam skor persekitaran pengajaran, pengukuran impak, pendapatan industri dan peningkatan besar dalam skor prospek antarabangsa.
Universiti Teknologi Petronas (UTP) pula, muncul institusi pendidikan kedua tertinggi di negara ini, iaitu pada ranking ke-98, menjadikannya universiti swasta terbaik negara.
Baty berkata, kedudukan enam daripada sembilan institusi tempatan yang disenaraikan pada tahun lalu pula naik pada tahun ini dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada kedudukan 125, berbanding 129 tahun lalu.
Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) naik masing-masing pada kedudukan 150 dan 170 berbanding 162 dan 175, tahun lalu.