Siasatan SPRM, Pas janji beri kerjasama
Pas berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan RM90 juta yang disyaki daripada 1MDB dimasukkan ke akaun beberapa pemimpinnya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen milik parti itu
sekiranya diminta SPRM untuk tujuan siasatan.
Semalam, SPRM menyatakan pihaknya akan memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang diterima Pas.
Minggu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menarik balik tuntutan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Tindakan itu diambil selepas Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman tersebut di luar mahkamah.
Pas ambil tindakan betul selesaikan isu saman
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berpendapat Pas mengambil tindakan yang betul apabila menyelesaikan saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown pada masa ini.
Memetik laporan Malay Mail, Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan bahawa Pas bijak mengatur strategi dan langkah yang dibuat Pas ketika ini adalah sesuatu yang terbaik buat parti itu.
Menurutnya, kos ulang alik dari Kuala Lumpur ke London untuk menghadiri mahkamah yang akan menelan belanja yang tinggi.
Ada pihak sengaja desas-desuskan rombakan Kabinet: Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan desas-desus rombakan Kabinet yang dikatakan bakal berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina sengaja dihangatkan pihak tertentu bagi menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan.
Presiden PKR itu, berkata, perkara tersebut dinafikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
Anwar mengulas tulisan sebuah blog beberapa hari lepas, mendakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri hal ehwal ekonomi bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri yang baru selepas Tahun Baharu Cina.
Menerusi catatan blog itu juga, desas-desus pelantikan Mohamed Azmin itu dikuatkan lagi apabila Dr Mahathir memberikan pelbagai tugasan penting kepada Mohamed Azmin termasuk sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan serta kemungkinan mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Kementerian Pendidikan nafi wujud usaha ubah subjek Sejarah
Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan wujud pasukan de facto DAP dalam kementerian itu yang mahu mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan menengah.
Dalam satu kenyatan, kementerian berkata, perkara tersebut juga sebelum ini telah disangkal Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Menurutnya, Kurikulum Kebangsaan termasuk subjek Sejarah akan terus kekal, melainkan jika ada cadangan atau saranan baharu daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Pendidikan Negara (JKD).
Menurutnya, tulisan yang sedang tular di media sosial merupakan satu tuduhan yang tidak berasas bertujuan memburukkan imej kementerian.
Berdosa jual air Milo tukar serbuk coklat: Mufti
Hukum perbuatan menukarkan serbuk milo dengan serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pelanggan adalah dilarang dan berdosa.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini kerana terdapat unsur penindasan dan kezaliman terhadap hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli sebagai imbalan kepada harga pembelian yang dibayar.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan berkenaan tindakan pemilik sebuah kedai makan yang menukarkan serbuk Milo dengan serbuk coklat yang lebih murah harganya dalam meningkatkan keuntungan.
Menurutnya, perbuatan menukarkan serbuk milo kepada serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pembeli bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi adalah dikira sebagai menipu dalam perniagaan.