Selepas larang atlet Israel, bendera Malaysia berkibar di Gaza
Selepas Malaysia tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini, bendera Malaysia dilihat berkibar di Gaza sebagai tanda penghargaan oleh rakyat Palestin.Peminat bola sepak Palestin meraikan pendirian Malaysia dalam solidariti dengan mengibarkan bendera Malaysia di Stadium Yarmouk, salah satu stadium tertua di Kota Gaza, semasa perlawanan bola sepak pada Sabtu lalu. Di sebelah bendera itu terdapatnya sepanduk dengan slogan menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri lain kerana pendirian mereka terhadap Israel.
“Terima kasih Malaysia kerana berpendirian menentang normalisasi (hubungan) dengan apa yang dipanggil ‘Israel’,” tulis sepanduk itu.
Putrajaya sebelum ini mengumumkan ia akan melarang atlet Israel daripada bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 29 Julai hingga 4 Ogos.
Pengundi Islam perlu utamakan calon Islam: Pas
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengundi Islam perlu mengutamakan calon sama agama dalam pilihan raya, termasuk di Cameron Highlands, selepas Nik Omar Nik Abdul Aziz menyatakan tidak salah untuk rakyat memilih calon bukan Islam yang menyokong kerajaan membawa perjuangan Islam.
Timbalan presiden Pas itu berkata, perkara itu jelas disebut dalam al-Quran dan calon agama lain boleh dipilih sekiranya tiada calon Islam.
“Soalnya bukan menyokong atau menentang. Yang penting ialah prinsip dibawa itu tidak bercanggah dengan Islam, katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Desa Kayangan, lapor Free Malaysia Today.
34 cedera terkena letupan mercun di Batu Caves
Seramai 34 orang cedera akibat terkena letupan mercun ketika sambutan Thaipusam berhampiran Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves malam semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata kejadian dipercayai berlaku apabila seorang lelaki yang datang bersama dua rakannya untuk meraikan perayaan itu membakar mercun di Persimpangan Bertingkat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kira-kira 8.40 malam.
Samsor berkata, mercun yang sepatutnya meletup di udara telah meletup di atas jalan raya, menyebabkan beberapa orang yang berada berhampiran kawasan berkenaan mengalami kecederaan.
Katanya polis tidak mengeluarkan permit bagi pembakaran mercun atau bunga api pada sambutan Thaipusam.
Bukan daging babi tapi lembu, MAS pertahan menu restoran
Malaysia Airlines (Mas) menafikan dakwaan mempromosikan hidangan babi dalam majalah pesawatnya Going Places edisi Januari.
Katanya walaupun sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang membawa penumpang seluruh dunia, MAS tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak dengan mempromosikan restoran yang menyediakan menu babi.
Mas melalui satu kenyataan berkata artikel Going Places edisi Januari mempromosikan pelbagai makanan dalam menu.
Manakala imej yang didakwa adalah potongan daging lembu Wagyu dan sotong. Seperti majalah gaya hidup lain, ulasan terhadap restoran itu dibuat bagi mempromosikan makanan untuk penumpang seluruh dunia.
KPWKM nafi arahan larang remaja bawah 18 tahun keluar malam
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan ada mengeluarkan arahan berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam.
Kementerian itu menegaskan bahawa maklumat berkenaan yang tular di aplikasi WhatsApp dan didakwa dikeluarkan kementerian itu sebelum ini adalah palsu.
KPWKM dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak mengeluarkan apa-apa arahan berhubung perkara itu. Pihak kementerian memohon semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu tersebut.
Sebelum ini, satu mesej tular di aplikasi WhatsApp berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam berkuat kuasa serta merta, yang didakwa dikeluarkan KPWKM.