1. Selagi hidup, saya cuba jaga maruah negara: Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan cuba untuk tidak membenarkan negara ini terjerumus dalam masalah buruk, hilang maruah, kedaulatan dan arah tujuan selagi beliau masih hidup.
Perdana Menteri berkata, beliau sedar tentang cabaran yang didepani, seolah-olah tidak dapat diatasi pada masa tertentu.
Tambahnya, Kita telah berjaya mengatasi cabaran dan rintangan pada masa lalu dan berharap dapat mengatasinya pada masa akan datang, katanya dalam ucapan pada Malam Anugerah dan Majlis Makan Malam Gala Persatuan Pertubuhan Pengurusan Asia (AAMO) ke-20, malam tadi.
“Membantu rakyat sendiri untuk bersatu dan sepakat untuk membangun dan membina Negara, adalah tanggungjawab kita dan juga akan mendapat faedah hidup di negara yang berjaya,” kata perdana menteri yang telah berusia 93 tahun itu.
Beliau juga berkata, Malaysia sebagai sebuah negara sudah melalui pelbagai rintangan sejak mencapai kemerdekaannya dan beliau telah menyaksikan bagaimana ia melalui perjuangan untuk membina tapak dan menjadi sebuah negara yang mempunyai keazaman dan keyakinan.
2. Mufti Perlis ‘pekak’ dakwa kerajaan PH tidak pertahankan Islam: Tun M
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai ‘pekak’ kerana mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempertahankan Islam.
Perdana Menteri berkata, jika Mohd Asri boleh mendengar, sudah tentu beliau tahu pelbagai usaha dilakukan kerajaan Pakatan Harapan dalam menjaga Islam di negara ini.
Mohd Asri dalam perkongsian di media sosial Facebook miliknya mendakwa suara mempertahankan Islam, sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.
Dakwanya pihak yang menimbulkan ketegangan itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan, manakala individu yang berkongsi pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam pula ditangkap.
Mohd Asri dipercaya membuat kenyataan itu susulan seorang pendakwah bebas yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh pendakwah terkenal dari India, Zakir Naik, direman empat hari untuk membantu siasatan, kelmarin.
3. Saya tak pasti siapa yang pekak: Dr MAZA
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mempertahankan kenyataannya bahawa ramai orang kini beranggapan Islam berada dalam keadaan tidak selamat di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau juga membalas terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi, bahawa tidak pasti siapa yang ‘pekak’ terhadap rungutan umat Islam itu.
“Namun, sesiapa yang mampu mendengar keresahan rakyat, itulah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini.
“Beliau tidak pasti siapa yang pekak,” kata Mohd Asri di Facebooknya hari ini.
Kenyataan awal Mohd Asri dikeluarkan selepas pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, ditangkap awal pagi semalam atas dakwaan menghina Hindu dalam satu ceramah.
Dalam catatan itu juga, Mohd Asri turut memuat naik gambar tulisan tangan Mahathir untuknya, dalam buku tulisan perdana menteri, A Doctor In The House.
Antara yang ditulis: Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya.
4. Perbalahan antara Tun M, TMJ tidak baik untuk ekonomi: Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu membabitkan pihak istana Johor.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, walaupun pihak istana bebas untuk menyuarakan pandangan, namun ia menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk menasihati pihak istana untuk menghormati mandat yang diberikan rakyat.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perbalahan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Dr Mahathir sebenarnya tidak baik untuk ekonomi.
Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan kenderaan TMJ beredar meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor, selepas perlawanan bola sepak membabitkan Johor Darul Ta’zim dan kelab dari China, Shandong Luneng.
Ketika kenderaan beliau melalui sekumpulan penyokong JDT, seorang individu melaungkan “tukar Mora” yang merujuk kepada Jurulatih JDT, Benjamin Mora.
Kenderaan itu kemudian berhenti seketika dan dari dalam kenderaan tersebut, TMJ berkata: “Daripada tukar Mora, baik tukar Perdana Menteri”.
5. Tiada sebab halang bina Lapangan Terbang Kulim: Lim Guan Eng
Tidak ada sebab untuk menghalang cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) di Kedah, apabila pembiayaannya akan ditanggung oleh pihak swasta menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata, kerajaan mahupun Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), tidak perlu mengeluarkan apa-apa perbelanjaan kerana projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.
Terdahulu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, dua laporan hasil kajian kebolehlaksanaan cadangan pembinaan lapangan terbang tersebut yang dilaksanakan oleh perunding mendapati projek berkenaan akan memberi impak negatif kepada negeri itu.
Lim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, pembesaran LTAPP dan pembinaan KXP kelak akan melonjakkan industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi.
Sementara itu, mengulas mengenai projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP, beliau berkata pihaknya bercadang untuk memperbesarkan lapangan terbang itu sehingga mampu menampung kapasiti 16 juta penumpang berbanding 12 juta penumpang yang dirancang sebelum ini.