Sebutan semula kes jual sijil lahir, MyKad tidak sah hari ini
Kes enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang yang didakwa mengeluar dan menjual dokumen pengenalan diri kepada warga asing akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Georgtown hari ini.
Pada 12 September lalu, kesemua mereka yang berumur antara 34 dan 66 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.
Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34, Datuk Lai Chin Wah, 56, Loh Chan Cheong, 34, Chien Guan Chai, 36, Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa antara dua dan tiga pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 antara Januari hingga Mac 2019.
Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran, manakala lima yang lain masing-masing dituduh menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama individu yang sama.
Bawa masuk warga asing, Pegawai Imigresen, wanita ditahan
Polis menahan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan membawa keluar dan masuk warga asing ke negara ini.
Menurut sumber, pegawai dan wanita berkenaan ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA yang melakukan rondaan selepas terserempak sebuah kereta Hyundai Sonata.
Hasil pemeriksaan terhadap kereta dipandu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun itu menemui kotak disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan DAN pemeriksaan pada beg galas milik wanita itu menemui sejumlah wang tunai selain beberapa telefon pintar.
Difahamkan ketika pemeriksaan dilakukan, muncul seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai Imigresen berusia 40 tahun dan mengaku kereta itu miliknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung tangkapan itu.
Jerebu: 479 sekolah ditutup di Perak , Selangor
Sebanyak 265 sekolah lagi di daerah Manjung, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Perak Tengah ditutup pagi ini menjadikan keseluruhan 288 sekolah ditutup di Perak.
Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, kesemua sekolah itu ditutup hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah 202 pada jam 5 pagi hari ini, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.
Manakala sebanyak 99 sekolah lagi di daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak dan Petaling Utama ditutup menjadikan sekolah yang ditutup hari ini di Selangor ialah 214 sekolah.
Khazanah jual Pusat Perubatan Prince Court RM1.02 bilion tunai
Khazanah Nasional Berhad mengumumkan hari ini akan menjual Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Kuala Lumpur pada nilai RM1.02 bilion secara tunai.
Jualan itu berlaku selepas setahun Khazanah membeli hospital berkenaan daripada Petronas.
Menurut pengumuman Bursa Malaysia hari ini, nilai pelaburan Khazanah dalam hospital itu melalui anak syarikatnya Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd adalah sebanyak RM1.086 bilion.
Dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah berkata Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd mencapai persetujuan pembelian saham dengan Pantai Holdings Sdn Bhd untuk melupuskan 100 peratus kepentingan terhadap hospital itu.
Pantai Holdings Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh IHH Healthcare Berhad.
Jerebu: Ramai setuju Asean kenakan tindakan tegas terhadap Indonesia
Undian Sinar Harian menerusi Facebook menunjukkan majoriti pengguna berpendapat negara Asean perlu mengambil tindakan tegas terhadap Indonesia ekoran berlakunya fenomena jerebu di rantau ini sekarang.
Undian Sinar Harian menerusi media sosial itu sehingga malam tadi menunjukkan sebanyak 96 peratus daripada 4,400 pengguna bersetuju negara Asean mengenakan tindakan tegas terhadap Indonesia dan hanya empat peratus sahaja tidak bersetuju.
Kerajaan Indonesia dilaporkan telah menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing berhubung pembakaran terbuka.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, isu jerebu agak sensitif kerana umum mengetahui ia berpunca daripada pembakaran terbuka yang kebanyakannya dari ladang milik syarikat Malaysia.