1. “Saya sayang MAS”: Tun Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau sangat menyayangi syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines (MAS).
Bagaimanapun, beliau berkata, satu tindakan berkesan perlu diambil dan dilakukan bagi memastikan MAS tidak terus mengalami kerugian.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, kajian perlu dilakukan termasuk sama ada untuk menjual atau sebaliknya syarikat penerbangan itu kepada pihak tertentu.
“Katanya, walaupun Malaysia Airlines, memilih pengurus dari luar, namun MAS masih mengalami kerugian. Jadi satu dari syaratnya ialah dengan menjual,”
Dalam masa sama, Dr. Mahathir mengakui, masih ramai kakitangan syarikat penerbangan itu yang berminat untuk terus berkhidmat.
Namun, apa yang menyulitkan, tegas beliau, ialah strategi dilakukan MAS tidak menguntungkan.
2. Kerajaan sedia bantu pelajar jika ada bajet: Tun M
Kerajaan akan menyediakan makanan percuma kepada mahasiswa university awam jika mempunyai peruntukan cukup, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Cadangan itu dikemukan selepas pendedahan sebilangan mahasiswa university awam yang terpaksa mengikat perut kerana kekurangan belanja.
Baru-baru ini, Berita Harian mendedahkan sebilangan mahasiswa di University Malaya(UM) terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari, antara ikhtiar hidup, kerana terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan.
Kesempitan hidup di alami itu, adalah daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu yang terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.
3. Kelantan benarkan Mak Yong kalau patuhi syariah
Kerajaan negeri Kelantan tidak menghalang persembahan tarian tradisional Mak Yong dilakukan sekiranya mematuhi syariah ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Md Anizam Abd Rahman, berkata kerajaan negeri mempunyai enakmen hiburan patuh syariah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang, bagaimanapun berkata, kerajaan negeri mempunyai barisan penilaian terdiri daripada ulama dan mufti bagi menilai tarian berkenaan sama ada patuh syariah atau sebaliknya.
“Bagaimanapun, persembahan tradisional Wayang Kulit sudah lama kita benarkan. Bagaimanapun penceritaannya perlu difahami mengikut syarat ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
4. Status Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Pulau Pinang mahu penjelasan Kedah
Kerajaan Pulau Pinang mahu Kerajaan Pusat melakukan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata, kerajaan Pulau Pinang mahu penjelasan daripada negeri Kedah berhubung status lapangan terbang di Kulim itu, sama ia kategori kargo atau penumpang.
“Pengumuman peruntukan RM1.6 bilion bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim adalah mengejutkan, kerana ia sepatutnya akan dibangunkan pihak swasta, seperti yang sudah dibincangkan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Isnin lalu,’ katanya.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan kerajaan Pusat meluluskan projek berimpak tinggi di Kedah, membabitkan pembinaan infrastruktur baharu dan program kebajikan khusus bagi penduduk luar bandar berjumlah lebih RM3.6 bilion.
5. New Zealand minta penjelasan FB gagal tapis video tragedi Christchurch
Kerajaan New Zealand meminta penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tiga platform media sosial ternama dunia berhubung penyiaran insiden tragis serangan dua masjid di Christchurch pada Jumaat lepas.
CEO Facebook, Mark Zuckerberg, CEO Twitter, Jack Dorsey, dan CEO Google, Sundar Pichai digesa menjelaskan bagaimana cara mereka mengawal kandungan siaran di platform media sosial masing-masing.
Tiga syarikat berteknologi Amerika Syarikat itu dihujani dengan kritikan bertubi-tubi dari pelbagai pihak serata dunia selepas mereka didakwa gagal mengenal pasti dan menghentikan siaran serta penyebaran rakaman insiden serangan yang berlaku pada Jumaat lalu.
Tragedi yang mengorbankan 50 jemaah ketika solat Jumaat itu, disiarkan secara langsung menerusi media sosial Facebook milik suspek pengganas Brenton Tarrant.