1. Rasuah: Zahid Hamidi akan didakwa esok
SPRM mendapat izin Jabatan Peguam Negara bagi mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah pada esok dan lusa.
Esok Ahmad Zahid dijadual akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala lusa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Menurut SPRM, pendakwaan itu berkaitan dakwaan kes rasuah melibatkan sistem visa luar negara.
SPRM juga mengesahkan mereka menahan Zahid pada jam 10 pagi semalam bagi siasatan akhir dan dilepaslan dengan jaminan SPRM.
2. Malaysia Airlines akan kekalkan identitinya jika dijual
Sekalipun akan dijual namun identiti Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan kebangsaan akan dikekalkan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, kerajaan telah membuat banyak perubahan terhadap Malaysia Airlines, tetapi ia masih gagal.
Beliau berkata bukan sekadar perubahan pengurusan, banyak perkara lain yang salah berkaitan syarikat penerbangan itu yang perlu diperbetulkan.
Dr Mahathir berkata demikian sebagai respons terhadap gesaan oleh dua veteran Malaysia Airlines, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif, untuk mengubah pengurusan syarikat penerbangan itu selepas kegagalannya bagi tahun kelima untuk mencapai kedudukan 20 teratas dalam kaji selidik antarabangsa mengenai syarikat penerbangan.
3. Megat Zaharuddin letak jawatan Pengerusi Felda
Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), berkuat kuasa 30 Jun ini.
Susulan itu Felda dalam kenyataan hari ini, berkata Megat Zaharuddin memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan itu semalam.
Felda berkata Pengerusi baharu bakal diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerana Felda adalah agensi yang bernaung di bawah kementerian berkenaan.
4. Insiden Pasir Gudang tidak sepatutnya berulang: Dr Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berlaku selepas terjadinya insiden serupa sebelum ini.
Beliau menjelaskan terdapat industri yang tidak prihatin terhadap keselamatan sehingga menyebabkan insiden seperti ini berulang.
Dr Mahathir berkata demikian merujuk kepada Insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac lepas yang turut menyebabkan pencemaran udara dan simptom lebih kurang serupa pada orang ramai di situ.
Tambah beliau, industri yang menjadi punca kepada pencemaran ini perlu dikenalpasti dan diambil tindakan tegas dengan segera.
5. Rasuah: CEO, ketua jabatan syarikat urus sisa pepejal ditahan
Seorang ketua pegawai eksekutif dan ketua jabatan kontrak dan perolehan sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah sejak 2015.
Perintah reman dikeluarkan Penolong pendaftar, Rashidah Azmi di Mahkamah Alor Setar, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, mereka ditahan berhubung penerimaan rasuah daripada kontraktor dalam pemberian kontrak kerja, pengubahsuaian rumah kedai milik salah seorang orang yang disyaki yang dilaksanakan oleh kontraktor terbabit.